Laman Utama
Kemarau Luar Biasa! Tapak Kaki Dinosaur Dikesan, Dugong Makin Pupus
Cuaca panas dan kemarau melampau di Texas, Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kebanyakan sungai kering kontang, dengan beberapa dasar sungai mendedahkan jejak dinosaur yang hidup kira-kira 113 juta tahun lalu.
Ia dikesan di Dinosaur Valley State Park, berdekatan Fort Worth, Texas, di dasar sungai yang kini kering selepas sekian lama ditutup oleh mendapan dan saliran air.
Musim kemarau di kawasan itu menyebabkan sebahagian besar Sungai Paluxy kering sehingga menampakkan jejak dinasour itu, yang tidak terjejas di sebalik lapisan mendapan dan tanah liat serta batu kapur.
Pegawai taman itu mendakwa, ia mungkin jejak terpanjang yang ditinggalkan dinasour di mana-mana tepat di Amerika Utara.
Jejak tapak kaki dinosaur itu bagaimanapun hanya kelihatan untuk beberapa hari sebelum ia lenyap semula apabila hujan menyebabkan paras air sungai kembali naik.
China isytihar dugong pupus
Sementara itu di China, dugong diisytihar pupus selepas disahkan tidak lagi wujud di negara itu sejak 2008.
Beijing melaporkan, dugong, yang pernah disalah anggap sebagai ikan duyung oleh kelasi kapal suatu ketika dulu, kini diisytiharkan pupus di China baru-baru ini.
Ia diisytiharkan pupus selepas penyelidikan baharu tidak menemui sebarang rekod atau bukti bahawa dugong wujud di negara itu sejak 2008, selepas bilangan mamalia laut itu merosot di China dari 1970-an dan sebelum 2008.
Haiwan terbabit kini terancam pada peringkat global oleh aktiviti manusia seperti memancing, dilanggar bot atau kapal serta kehilangan habitat disebabkan oleh manusia.
Saintis pemuliharaan dari Persatuan Zoologi London (ZSL) dan Akademi Sains China menjalankan tinjauan dan menyemak data pengedaran sejarah untuk mencapai kesimpulan terbabit.
Penulis bersama kajian terbabit, Prof Samuel Turvey berkata kemungkinan kehilangan dugong di China adalah kerugian yang amat besar.
"Ketiadaan haiwan ini bukan saja memberi kesan terhadap ekosistem tetapi menjadi peringatan yang menyedihkan bahawa kepupusan boleh berlaku jika gagal membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan," katanya. - AGENSI
Foto: AFP
Must-Watch Video