Kementerian Pengangkutan Arah 2 Syarikat E-Hailing Rusia Henti Operasi 24 Julai
Kerajaan mengarahkan dua syarikat menyediakan aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim, yang didakwa beroperasi secara haram, menghentikan operasi masing-masing berkuat kuasa 24 Julai ini.
"Bagaimanapun, kedua-dua syarikat e-hailing berkenaan boleh membuat rayuan dan ia hanya boleh diputuskan oleh saya selaku Menteri Pengangkutan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Semula Landasan untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang pada Jumaat.
Baru-baru ini Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) menerusi kenyataan dilaporkan mendakwa, kedua-dua platform e-hailing itu didapati terus menawarkan perkhidmatan mereka tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.
Kenyataan itu menyebut, dua syarikat e-hailing berkenaan melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), termasuk tidak memastikan pemandu mereka memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah, seperti yang telah diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.
Kata kenyataan itu, perbuatan ini bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang mempunyai Lesen PSV yang sah, malah turut menjejaskan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Sumber: Astro AWANI