HIBURAN
Kenang Pemergian Arwah Bapa, Harissa Adlynn Gagal Tahan Air Mata - “Pagi Raya Saya Akan Baca…”
Pelakon Harissa Adlynn gagal menahan air mata ketika mengenang pemergian arwah bapanya, Abdul Halim yang meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2022.
Walaupun reda dengan ketentuan takdir, Harissa mengakui masih sukar melupakan detik kehilangan insan tersayang itu.
“Saya tahu berita sedih itu ketika saya tengan menjalani pengambaran sebuah siri, mama baru je hantar saya dan selepas settle make-up apa semua, satu set senyap dan pengarah datang dekat saya dan bagi tahu saya kena balik walaupun dia tak bagi tahu saya dapat rasakan yang babah dah tak ada.
“Kalau tanya saya sebenarnya saya masih tak boleh move on apabila saya kehilangan arwah babah. Sebab dia sudah sakit bertahun-tahun jadi kalau dia ada sekarang saya pasti dia masih sakit dan saya tak nak benda tu berlaku.
“Masa saya dapat lihat babah untuk kali terakhir, alhamdulillah dia nampak begitu tenang dan saya boleh nampak dia seolah-olah tersenyum,” kongsi Harissa.
Pelakon drama Dedaun Hijau Di Angin Lalu itu turut menggambarkan arwah sebagai seorang insan yang sangat kuat dan tidak suka bergantung kepada orang lain, walaupun sedang sakit.
Namun, momen yang paling bermakna buat Harissa adalah ketika dia dapat menyuapkan makanan kepada arwah bapanya itu.
“Macam babah dia suka tunjukkan dia seorang yang kuat dan dia tak suka orang buat benda untuk dia, semua kalau boleh dia nak buat sendiri. Tapi ada satu masa tu dia nak makan bubur dengan cakoi tapi dia tak mampu jadi saya bantu untuk suap dia makan, kalau saya boleh putar balik waktu saya akan buat apa sahaja untuk kembalikan masa itu,” katanya.
Pada masa sama, Harissa juga mengakui masih menyimpan mesej-mesej terakhir yang dikirim oleh arwah bapanya termasuk ucapan ulang tahun dan kata-kata semangat.
Jelasnya, mesej-mesej tersebut menjadi pengubat rindunya kepada arwah lebih-lebih lagi sewaktu hari raya.
“Setiap kali raya selalunya kita akan salam raya, jadi apa yang buat saya sedih adalah saya tak dapat bersalaman dengan dia. Jadi apa yang saya buat adalah baca balik perbualan kami di Whatsapp seperti dia sedang berbual dengan saya.
“Banyak mesej sentimental yang dia hantar kepada saya seperti dia bangga dengan saya, ucapan hari jadi, hari raya dan sebagainya. Sebab ibu bapa saya sudah berpisah tapi saya masih baik dengan kedua-duanya. Jadi saya tetap rapat dengan arwah babah,” ujarnya.
Must-Watch Video