Pasca peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin dianggap sebagai ‘igauan ngeri’ buat sesetengah pelajar.

Pasti terngiang-ngiang keperitan untuk mengulang kaji pelajaran tidak kira waktu.

Namun, dalam ketika pelajar tertekan untuk mengulang kaji, pasti ada lagu yang sering menemani mereka bukan?

Jika lagu tersebut diputarkan ketika ini, pasti sekelip mata akan teringat pada zaman SPM.

Oleh itu Gempak senaraikan beberapa lagu ikonik ketika SPM pilihan editor kami.

#1 My Heart & Pencinta Wanita

Buat mereka yang mengambil SPM sekitar 2006 pasti masih ingat lagu ini.

Lagu ini dilancarkan sempena filem Heart lakonan Irwansyah, Acha Septriasa dan Nirina Zubir.

Siapa boleh lupa babak bermain bola keranjang menerusi lagu My Heart dan rambut biru Irwansyah untuk lagu Pencinta Wanita.

#2 Teman Sejati

Lagu ini boleh dikatakan agak ‘evergreen’ sebaik dilancarkan pada tahun 1997 menerusi album We Are daripada kumpulan Brothers.

Sejak daripada itu, ia kerap dimainkan tidak mengira situasi.

Namun, lagu ini boleh dianggap lebih dekat dengan pelajar SPM memandangkan setiap daripada mereka akan membawa haluan masing-masing.

#3 Kenangan Terindah & Biarlah Rahsia

Satu lagi lagu ‘berhantu’ daripada kumpulan Indonesia.

Biarpun SPM bukan lah kenangan terindah buat sesetengah pelajar, namun ia masih meninggalkan momen manis yang tidak akan dilupakan.

Jangan tak tahu, lagu milik kumpulan Samsons ini juga dilancarkan pada tahun 2006 sama dengan lagu berhantu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Biarlah Rahsia.

Ketika ini kecoh mengenai khabar angin antara Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa.

Masih anda ingat?

#4 Happy Ending & Hollaback Girl

Buat mereka yang mengambil SPM sekitar tahun 2004, maka Hollaback Girl mungkin menjadi ‘anthem’ rasmi ketika itu.

Populariti Gwen Stefani boleh dikatakan sedang memuncak ketika itu.

Begitu juga lagu Avril Lavigne yang popular dengan lagu Skater Boy dan kemudiannya Happy Ending.

Kedua-dua lagu ini muncul sekitar tahun yang sama.

#5 Bad Romance

Mungkin bagi sesetengah daripada anda, lagu Bad Romance lah yang menemani ketika menduduki SPM.

Tidak dinafikan lagu Lady Gaga ini membawa pengaruh yang cukup kuat ketika itu.

Lagu ini dilancarkan sekitar 2008 menerusi album The Fame Monster

#6 Sha Na Na & Sejarah Mungkin Berulang

Buat mereka yang mengambil SPM tahun 2000 maka lagu inilah yang kerap didengar.

Lagu Sha Na Na nyanyian Amy Mastura cukup popular ketika itu.

Lagu Sejarah Mungkin Berulang juga popular ketika era itu selepas dilancarkan pada tahun 1999.

#7 Mungkinkah Terjadi & Relaku Pujuk

Masih sekitar 1999, lagu Mungkinkah Terjadi nyanyian kumpulan Spider cukup popular dalam kalangan pelajar SPM ketika itu.

Spider kemudian popular dengan lagu Relaku Pujuk yang juga menjadi ‘anthem’ budak SPM pada tahun 2004 menerusi album Nazraku.

Boleh dikatakan hampir keseluruhan album Spider ketika itu meletup!

#8 Pengemis Muda

Bagi yang mengambil SPM pada 1985, lagu ini mungkin akan mengimbau kenangan anda.

Pengemis Muda merupakan sebuah lagu single nyanyian Sheila Majid yang dikeluarkan pada tahun 1985 dan ditulis oleh Waizek Ismail.

Susunan lagunya pula dibuat oleh Surya.

Lagu ini dimuatkan di dalam album Dimensi Baru.