Penyampai baru radio Zayan, Adiela Ridzuan bersikap positif terhadap komen negatif pendengar padanya untuk terus memperkenalkan dirinya dengan cara tersendiri.

Selebriti berusia 27 tahun ini memberitahu dia menerima pelbagai komen daripada pendengar stesen radio itu menerusi mesej secara DM dan komen di status akaun Instagramnya.

"Ada yang suka dan ada juga yang bertanya kepada suara saya pelik, ada ‘slang’ tetapi saya ambil positif terhadap komen mereka," katanya kepada Astro Gempak.

Ibu pada seorang anak lelaki berusia 5 bulan ini menyatakan dia masih belajar pelbagai aspek sebagai penyampai radio.

"Sebelum ini saya terbabit sebagai model untuk online katalog sejak 5 tahun lalu.

"Kedua bidang ini memang menyeronokkan cuma saya percaya penyampai radio perlu mempunyai daya tarikan yang lain daripada lain," katanya.

Akuinya, menjadi penyampai radio dia perlu berdepan cabaran untuk banyak bercakap.

"Saya sebenarnya suka cakap pendek-pendek dan gelak banyak tapi bila di konti, saya kena banyak bercakap, gelak sikit," katanya.

Adiela yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dari Universiti Malaysia Pahang berjaya menjadi penyampai radio selepas hadir pada sesi ujibakat.

"Buat masa ini saya mengendalikan segmen, Zayan Hujung Minggu dari jam 8 pagi sehingga 1 petang pada Ahad.

"Dah empat kali 'on air', banyak lagi perkara saya kena belajar. Meskipun tiada pengalaman sebelum ini, ia tetap memberikan suatu pengalaman yang menarik pada diri sendiri," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @adielaridzuan