Semalam, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Memetik laporan Astro Awani, notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media mengesahkan perkara berkenaan.

Beliau berkata, notis pemberhentian berkenaan sudah direkodkan Mahkamah Rayuan.

Menurut notis berkenaan, dua pihak tersebut, tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021.

Susulan itu, keseluruhan rayuan dihentikan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Penegasan Dr Zulkifli


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi kemas kini di media sosialnya menegaskan, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Katanya, Paling utama, keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah KDYMM Sultan Johor dan KDYMM Sultan Selangor, yang menitahkan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.


“Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para Ashabus Samahah Mufti serta Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO, dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik.

“Rayuan tersebut diangkat semasa saya menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ia dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, dan Solat kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia. Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri dimulakan.

Mahukan jawapan


“Saya amat berharap Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri ada jawapannya. Ini kerana YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail selaku Menteri Dalam Negeri memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu kepentingan umat Islam ini,” tulisnya.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Sementara itu, peguam, Annou Xavier yang mewakili Jill berkata, keputusan yang dibuat mahkamah tinggi dengan ini adalah kekal, selepas notis pemberhentian berkenaan dikeluarkan.

Pada 11 Mei 2008, cakera padat (CD) berjudul 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah' telah dirampas daripada Jill sebaik beliau tiba di lapangan terbang di Sepang.

Susulan itu, Jill memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula CD itu dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan agar kesemua lapan CD itu dipulangkan, namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon

Sumber: Astro Awani & Twitter Dr Zulkifli