Kerajaan tidak bercadang mengharamkan perkahwinan bawah umur, namun komited mengekang perkara berkenaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Katanya, usaha mengekang perkahwinan bawah umur dilaksanakan melalui program di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

"Perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malahan melalui pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi masyarakat.

"Pada masa sama, Jawatankuasa Pemandu yang telah ditubuhkan akan terus memantau pelaksanaan dan perkembangan program yang dirancang," katanya dalam kenyataan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai status terkini pembentangan rancangan mengharamkan perkahwinan bawah umur bagi membendung eksploitasi kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Rina berkata kerajaan bersetuju bahawa penetapan had umur berkahwin pada usia 18 tahun adalah tertakluk kepada kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Katanya, cadangan untuk mengadakan sesi perbincangan bersama MAIN akan diperhalusi melalui kerjasama advokasi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

"Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak yang berkepentingan, sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun negeri supaya lebih prihatin dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam menangani perkahwinan bawah umur di negara ini demi menjamin masa hadapan kanak-kanak," katanya.

Sumber: Berita Harian
Foto: FreeMalaysiaToday