Skip to main content

Filem

Kerana Bergaduh Dalam Gudang, Achey Sakit Badan

acheyyyy_1.jpg
Pelawak Achey dari kumpulan Bochey akui badannya rasa sakit dan sengal selepas bergaduh di dalam gudang.

Pergaduhan tersebut merupakan salah satu babak penting yang dijayakan oleh Achey dalam filem Abang Long Fadil 2.

"Saya harus melakukan aksi-aksi lasak dan bergaduh di dalam gudang. Bayangkan, selama ini saya sering membawakan watak komedi yang tidak memerlukan banyak pergerakan badan, filem itu menuntut saya beraksi menjayakan adegan bergaduh pula.

"Walaupun saya rasa sakit dan sengal-sengal badan selepas habis babak tersebut, saya puas hati. Banyak yang saya belajar menerusi filem Abang Long Fadil 2," kata Achey kepada Astro Gempak.

Dalam filem arahan Syafiq Yusof itu, Achey membawakan watak sebagai seorang juruvideo bagi stesen televisyen.

"Watak itu tidak terlalu sukar untuk saya. Apa yang susahnya ialah saya harus mengawal diri sendiri agar tidak menjadi seorang 'pak lawak'.

"Syafiq juga memberi pilihan untuk saya menggunakan khidmat stuntman atau melakukan babak aksi sendiri.

"Kebanyakan adegan aksi saya jayakan sendiri tetapi jika babak yang sedikit membahayakan, saya menggunakan khidmat stuntman.

"Apa yang penting, saya tak sabar menantikan maklumbalas peminat. Saya berharap mereka dapat 'enjoy' menonton filem ini," katanya lagi.

Jangan lupa saksikan Abang Long Fadil 2 yang dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok, A. Galak dan ramai lagi.

Filem kerjasama pertama Skop Production dan Astro Shaw ini bakal ditayangkan di pawagam bermula hari ini, 24 Ogos 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

 

Advertisement

Must-Watch Video