Hanya kerana sepotong lirik ‘Raparaparapa’, remaja kelahiran Jordan, Issam Alnajjar berjaya mencipta sensasi muziknya di seluruh dunia.

Malah lagu berbahasa Arab yang dinyanyikan Issam merupakan yang pertama mencatat populariti di peringkat global.

Lagu ciptaan sepenuhnya penyanyi berusia 17 tahun berjudul Hadal Ahbek yang membawa maksud Aku Akan Terus Mencintaimu itu, menjadi viral selepas dia memuat naik video ‘teaser’ lagu berkenaan di akaun instagram miliknya pada September lalu.

“Saya remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Jordan, saya berjaya menghasilkan lagu yang menjadi trending di seluruh dunia.

“Dari itu, saya yakin apa saja tidak mustahil dapat dicapai jika kita memiliki cita-cita,” katanya yang mempunyai lebih dari 600,000 subscriber di saluran YouTube.


Biarpun didendangkan sepenuhnya dalam bahasa Arab, namun ia bukan masalah besar untuk lagu itu diterima. Bahkan Issam berjaya membuktikan muzik boleh dinikmati tanpa sempadan.

Ia turut dibuktikan menerusi kejayaan lagu itu mendaki carta teratas lagu-lagu di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Malaysia dan India.

Malah lagu itu juga berjaya mengatasi penyanyi popular antarabangsa, apabila Hadal Ahbek mendapat perkongsian lebih tinggi berbanding lagu nyanyian Justin Bieber mahupun The Weeknd.

Di Malaysia sendiri, lagu Issam juga tidak kurang sensasinya. Populariti lagu Hadal Ahbek di sini bermula daripada aplikasi Tik Tok.

Malah negara kita adalah negara ketiga mencatat penstriman terbanyak selepas Indonesia.

Selain itu, Malaysia turut muncul sebagai negara keenam terbanyak menonton video nyanyian remaja itu di YouTube sehingga menjadi ‘trending’.

Muzik video persembahannya secara live yang dimuat naik sendiri penyanyi itu di saluran YouTube sudah mencecah 52 juta tontonan dalam tempoh lima bulan.

“Saya masih lagi sedang cuba menghadam semua ini, otak saya masih lagi memproses ‘kegilaan’ ini,” kata Issam mengenai populariti Hadal Ahbek.

Menurut penyanyi yang menjadikan artis pop seperti Shawn Mendes dan Ed Sheeran sebagai inspirasi di dalam penulis lagu serta mengagumi kreativiti artis ikonik seperti Queen dan The Weeknd, dia sejujurnya menjangkakan lagunya hanya mendapat 10,000 tontonan saja.

Namun siapa sangka dalam seminggu, lagu itu berjaya mencatat lebih 100 K tononton. Sementara di aplikasi muzik Spotify, Apple Music dan Deezer, lagu Hadal Ahbek turut distrim paling banyak.

Hadal Ahbek sudah pun tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer, KKBOX dan YouTube Music manakala video muziknya sudah boleh ditonton di saluran YouTube Issam Alnajjar.