Tidak dinafikan, peserta Big Stage 2022, Ajoi Zainal mempunyai estetik vokal yang luar biasa. Sekali dengar, tentu penonton sudah dapat meneka: ‘Oh, itu suara Ajoi’ secara mudah.

Masakan tidak, dengan corak vokal yang garau dan mampu menjadikan sesebuah lagu itu ‘miliknya’ sendiri, Ajoi dilihat mampu untuk bersaing dengan peserta lain yang turut memiliki kekuatan vokal yang serupa.

Begitupun, ada juga cakap-cakap nakal yang pemilik nama sebenar, Muhammad Qaidzul Zainal Abidin itu memiliki tone suara seakan-akan penyanyi popular, Akim Ahmad. Tidak kurang, ada juga yang menyamakan wajahnya dengan suami kepada penyanyi Stacy itu.

A post shared by Ajoi Zainal (@ajoizainal)


Sungguhpun meletakkan Akim sebagai idolanya, Ajoi yang sebelum ini menempa populariti daripada lagu saduran yang dimuat naik di media sosial enggan terus dikenali bersandarkan bayangan penyanyi berkenaan.

“Jujurnya, saya agak bangga bila ada yang samakan saya dengan Akim Ahmad. Kalau nak tahu, saya pun mahu menjadi seperti dia iaitu mampu untuk menyanyi dan menulis lagu.

“Namun, saya pernah bawakan lagunya dalam pertandingan, tetapi pernah kena reject dan tak dapat masuk. Menurut juri, mereka nak lihat diri saya dan tidak mahu saya berselindung di sebalik identiti penyanyi lain.

“Disebabkan itu, kalau boleh saya tidak akan membawakan lagu Akim dalam mana-mana pertandingan menyanyi,” katanya kepada Gempak.

Selain Ajoi, Big Stage 2022 bakal diserikan dengan peserta-peserta berbakat besar seperti Tuah Adzmi, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim dan Sofiaa Marieylla.

Lebih menarik, dua peserta dari luar negara Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia) turut terlibat pada musim kali ini.

Big Stage 2022 bakal bersiaran bermula 6 Februari depan di Pusat Konvensyen, Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran Astro Ria (104).