Kecoh di media sosial apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dikatakan merempuh kawasan tanah perkuburan.

Disebabkan itu, ramai mempersoalkan punca sebenar ia boleh berlaku memandangkan kejadian tersebut agak sensitif kerana membabitkan kawasan orang yang sudah meninggal dunia.

Menurut laporan sebuah media tempatan, kejadian didakwa berlaku selepas pemandu yang juga seorang wanita berusia 60 tahun tersebut selesai menziarahi kubur suaminya dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Forest Height di Senawang itu.

Jelas Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, pemandu dikatakan telah pitam akibat kekurangan gula.

“Ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu Perodua Myvi itu berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah, lalu pitam.

“Ini menyebabkan kenderaan yang dipandunya bergerak ke hadapan secara tidak sengaja lalu melanggar dua tapak perkuburan di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, menurut seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan anak kepada pemandu terbabit menyatakan ibunya masih dalam keadaan trauma dan bersedih kerana baru sahaja kehilangan suami tercinta akibat COVID-19.

Malah, keluarganya kini berusaha untuk memulihkan semula semangat ibunya.

“Saya memohon jasa baik orang ramai untuk berhenti menularkan insiden ini agar tiada lagi salah faham yang timbul di kalangan masyarakat,” katanya.

Difahamkan, pelanggaran tersebut menyebabkan kerosakan pada dua tapak perkuburan manakala Perodua Myvi itu hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan.

Tiada kecederaan yang dialami oleh pemandu Myvi.

Sumber: Utusan, Facebook