Laman Utama

Kereta Rentung, Jasad Azi Sempurna, Ditemui Seperti Sedang Duduk Antara Dua Sujud

gempak
Gempak
17/10/2022
00:34 MYT
Sponsor Banner
Kereta Rentung, Jasad Azi Sempurna, Ditemui Seperti Sedang Duduk Antara Dua Sujud
Allahyarhamah Nurul Nazihah Kamalul Arifin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan malam tadi, baru kembali daripada menunaikan umrah bersama suami dan ibu bapanya minggu lalu.
Bapa Allahyarham, Kamalul Arifin Ahmad, 66, yang masih terkejut dengan pemergian anak keempatnya itu berkata, arwah merancang untuk turut pergi menunaikan ibadah itu selepas mengetahui hasratnya dan isteri, Saliah Hood, 56, yang mahu ke Tanah Suci.
"Rasanya empat hingga lima bulan juga dia dan ibunya merancang serta menguruskan perjalanan umrah kami. Baru kini kami dapat pergi memandangkan arwah pun baru tiga tahun bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang.
"Alhamdulillah impian dia nak pergi umrah tercapai. Ketika di Tanah Suci, arwah dan suaminya paling muda jadi merekalah yang banyak membantu kami semua. Dia pun ke Tanah Suci sebagai ikhtiar dan berdoa untuk dapatkan zuriat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lukut, dekat sini hari ini.
Menurutnya, Nurul Nazihah, 28, baru saja kembali bekerja dua hari lalu dan ada memaklumkan untuk balik ke rumahnya (Kamalul) minggu depan.
Kamalul berkata, meskipun sedih dengan pemergian anaknya itu, dia reda apatah lagi apabila diberitahu jasad anaknya ditemui sempurna, seolah-olah sedang duduk antara dua sujud.
"Apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa keadaan jasad arwah masih sempurna, saya rasa syukur dan yakin ini mungkin berkat amalannya ketika hidup yang sangat tegas dalam bab agama," katanya sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang ceria dan penyayang.
Sementara itu, sepupu kepada suami mangsa, Nurizzah Atikah Jamaluddin, 28, berkata suami mangsa, Redzuan Jamil masih trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga mengigau bertanya tentang isterinya malam tadi.
Katanya, sepupunya itu ada bercerita bahawa ketika kejadian dia berusaha menyelamatkan Nurul Nazihah atau lebih mesra dipanggil Azi, yang tersepit tetapi gagal sehingga orang awam bertindak menyelamatkan Redzuan melalui pintu belakang kereta.
"Saya memang tak sangka sebab Azi seorang yang periang, kelakar dan suka ambil gambar atau video" katanya.
Terdahulu, tinjauan Bernama di rumah keluarga mangsa di Kampung Lukut mendapati ia dipenuhi dengan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran yang menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dalam suasana hiba.
Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, dekat sini sebaik saja jenazah tiba dan disembahyangkan.
Terdahulu, dua individu dilaporkan rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak pada 7.47 malam tadi.
Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya.
Sumber/Foto: Bernama, Harian Metro, Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live