BERITA
Kes Bunuh Zulfarhan: Enam Tertuduh 'Keluar' 4 Tahun Lagi - Peguam
Hukuman penjara terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh tanpa niat Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain hanya berbaki empat tahun lagi.
Keluar Penjara 4 Tahun Lagi
Mengesahkan perkara itu, peguam Datuk Seri M Ramachelvam yang mewakili perayu keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat, 29, berkata, dalam tempoh empat tahun lagi anak guamnya akan memulakan kehidupan baharu.
"Ini adalah pelajaran dan pengalaman yang menyakitkan bagi dia. Ibu bapa dia sebenarnya sudah meminta maaf kepada keluarga mangsa atas apa yang berlaku dan tidak sengaja.
"Dan seperti yang saya katakan, dia menanti-nantikan untuk memulakan kehidupan lagi empat tahun, dan saya harapkan yang terbaik untuk masa depannya," katanya ketika ditemui selepas prosiding hari ini.
Percaya Tertuduh Sudah Insaf
Ramachelvam berkata, dia percaya semua tertuduh sudah insaf dan menyesal dengan perbuatan mereka.
"Apa yang berlaku tidak disengajakan hingga membawa kepada kematian Zulfarhan, jadi beri mereka peluang untuk mulakan hidup semula," katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati dan mengembalikan semula penjara 18 tahun terhadap enam bekas pelajar UPNM kerana menyebabkan kematian Zulfarhan Osman, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menerima rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman mati ke atas semua perayu atas keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai tahun.
Enam bekas pelajar itu selaku perayu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya berusia 29 tahun.
Katanya, anak guamnya sudah menjalani hukuman penjara lapan tahun sejak ditahan pada 1 Jun 2017.
"Penjara membenarkan satu pertiga hukuman untuk dipertimbangkan untuk diselesaikan lebih awal jika berkelakuan baik, jadi jika dikira dia akan keluar selepas empat tahun lagi," katanya.
Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhammad Azamuddin berkata, dalam kes ini tiada pihak yang menang atau kalah dan Zulfarhan sudah meninggal dunia.
"Mereka ini sudah hilang masa depan dan sudah menjalani hukuman," katanya.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video