HIBURAN
Kes Penganiayaan Bisnes Muruku Beri Impak Pada Gaji Pekerja, Noraniza Idris Terpaksa Keluarkan Wang Peribadi Demi Selesaikan Masalah
Susulan terkait dengan isu perniagaan muruku miliknya didakwa menjadi mangsa penganiayaan dengan sebuah akademi keusahawanan, penyanyi Noraniza Idris mendedahkan jadual pembayaran gaji pekerjanya terjejas.
Terpaksa tangguh gaji pekerja
Noraniza berkata, dia terpaksa menangguhkan bayaran gaji pekerjanya selama sebulan kerana masalah kewangan.
“Kos kita banyak dihabiskan dengan akademi ini dan apabila berlaku begini maka berlaku masalah kewangan sebab kita tak buat sebarang pinjaman.
"Memang ada lewat bayar gaji pekerja, tetapi mereka memahami pendapatan kita tidak tinggi. Gaji pekerja cecah sehingga RM30,000 ke RM40,000, itu belum lagi perbelanjaan bulanan. Banyak kerugian yang kami tanggung,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa StarVendors di Ruang Rama Event Space, Petaling Jaya pada Rabu.
Bukan itu sahaja, pelantun lagu Dikir Puteri itu juga mendedahkan dia perlu mengeluarkan wang peribadinya bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Itu perkara biasa (menggunakan wang peribadi) bahkan wang persembahan saya juga digunakan, asalkan kebajikan staf terjaga dan kilang tidak tergadai.
“Kumpul duit sendiri dan anak-anak untuk bayar. Kami pernah terlewat sebulan untuk buat pembayaran gaji. Tapi Alhamdulillah, pembayaran pun sudah beransur selesai dibayar sejak November lalu,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Noraniza memaklumkan pihaknya terbuka untuk menyelesaikan perkara ini di luar mahkahmah selain berharap agak pihak akademi tersebut memberikan kerjasama sepenuhnya untuk menyelesaikan isu ini.
“Kalau ikut saya, saya tak mahu panjangkan hingga ke mahkamah, biarlah dia selesaikan dan beri kerjasama sekiranya dipanggil oleh pihak polis. Saya pun bersedia untuk berdepan dengan dia.
“Saya selalu bersangka baik, ketika menandatangani kontrak semuanya betul tetapi mengapa dia melanggar.
“Saya masih beri peluang untuk kita berbincang menyelesaikan masalah yang terhenti semenjak Mei tahun lepas.
“Nak pulangkan barang semuanya sudah habis, saya cuma mahu dia pulangkan bayaran yang telah dijanjikan.
Terdahulu, Noraniza mendakwa dirinya dianaiya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000 awal tahun ini dan tampil membuat laporan polis.
Difahamkan, akademi terbabit menawarkan peluang di platform mereka untuk penjualan produk makanan iaitu muruku yang diusahakan oleh Noraniza.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggaran Rugi RM630,000, Kak Ani Buat Laporan Polis Dakwa Dianiaya
Must-Watch Video