SUKAN
Kes Serangan Asid Faisal Halim Diklasifikasikan NFA, Peguam Desak Teruskan Siasatan - "Kami Amat Kecewa..."
Peguam yang mewakili pemain sayap kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim, mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kes serangan simbahan asid terhadap anak guam mereka pada Mei 2024.
Menurut jurucakap Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, Nik Zarith Nik Moustpha dan Mohd Haijan Omar, beberapa langkah proaktif telah diambil sejak siasatan bermula bagi memastikan kes tersebut diberi perhatian sewajarnya.
Jelas mereka, antara tindakan yang dilakukan termasuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mengemukakan permohonan agar siasatan menyeluruh dijalankan.
“Kami juga telah menghantar beberapa surat kepada pihak berkepentingan termasuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara bagi menggesa agar siasatan kes ini dipantau serta diberikan keutamaan,” menurut mereka.
Peguam mewakili pemain kebangsaan yang juga dikenali dengan panggilan Miki itu ditemui pemberita di Pejabat Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co di Kajang pada Khamis.
Bagaimanapun, firma guaman itu memaklumkan mereka telah menerima satu surat daripada Jabatan Peguam Negara yang menyatakan kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan dapatan bahawa PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek serangan.
“Kami amat kecewa dengan hasil siasatan tersebut. Justeru, kami akan terus mengadakan perbincangan dengan Faisal Halim bagi menentukan tindakan lanjut,” kata mereka.
Sebelum ini, kes serangan asid terhadap Faisal Halim mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan peminat bola sepak tanah air yang mengharapkan keadilan terhadap mangsa dapat ditegakkan.
Pada 5 Mei 2024, Faisal Halim bersama isteri dan anaknya sedang menuju ke kereta mereka selepas keluar dari sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Seorang lelaki yang memakai pelitup muka menghampiri mereka dan mengucapkan “good luck” sebelum menyimbah cecair dipercayai asid ke arah Faisal.
Serangan tersebut menyebabkan Faisal mengalami kelecuran tahap empat pada bahagian leher, bahu, tangan dan dada. Beliau segera dikejarkan ke hospital dan menjalani beberapa pembedahan, termasuk pemindahan kulit.
Berikutan itu, PDRM telah menahan beberapa suspek berhubung kes ini. Seorang lelaki berusia 20-an ditahan pada 6 Mei 2024, diikuti oleh seorang lagi suspek berusia lewat 30-an yang ditahan pada 7 Mei 2024.
Walaupun beberapa individu telah ditahan dan disoal siasat, motif serangan masih belum dapat dipastikan. PDRM telah menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengambilan keterangan daripada saksi-saksi.
Dalam masa yang sama, serangan terhadap Faisal Halim telah mengejutkan komuniti bola sepak Malaysia. Ia berlaku dalam tempoh yang sama dengan beberapa insiden keganasan lain terhadap pemain bola sepak tempatan, termasuk serangan terhadap Akhyar Rashid dan Safiq Rahim.
Berikutan insiden-insiden ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan untuk pemain dan pegawai pasukan.
Beberapa kelab juga telah menasihatkan pemain mereka untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, termasuk mempertimbangkan untuk mendapatkan pengawal peribadi.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video