VIRAL
Kes Zara Qairina: Fadhlina Nafi Lambat Bertindak - "Berhentilah Sebar Berita Tidak Sahih"
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan kononnya tindakan hanya diambil selepas kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina menjadi tular di media sosial.
Menurutnya, tuduhan tersebut adalah satu fitnah berat yang sedang berleluasa dan tidak berasas.
“Berhentilah menyebarkan berita yang tidak sahih,” tegas Fadhlina dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Jelasnya lagi, penyebaran maklumat palsu bukan sahaja mengelirukan orang awam, malah turut menjejaskan murid, guru dan warga sekolah yang tidak bersalah.
Katanya, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penyebaran berita tidak benar dan fitnah demi menjaga kesejahteraan semua warga pendidikan.
Fadhlina menjelaskan bahawa beliau telah menziarahi keluarga mangsa di hospital Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu dan telah memastikan segala keperluan keluarga tersebut diberikan perhatian.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah diarahkan untuk menyalurkan bantuan segera.
Sehari selepas itu, satu kenyataan rasmi berhubung kejadian telah dikeluarkan oleh pihak kementerian, menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan siasatan pihak polis.
Menurut Fadhlina, beliau memantau rapat perkembangan kes ini setiap hari dan menekankan bahawa ia merupakan tumpuan utama kementerian ketika ini.
“JPN Sabah turut melakukan beberapa siri ziarah cakna serta melaksanakan intervensi krisis dan trauma kepada murid, guru dan warga sekolah bagi memastikan aspek kesejahteraan sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Untuk menjawab kebimbangan keluarga dan masyarakat, satu lagi kenyataan susulan telah dikeluarkan pada 25 Julai, menegaskan bahawa KPM tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat salah laku.
Katanya, tindakan sewajarnya hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan polis.
“Saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara profesional, telus dan menyeluruh,” ujarnya, sambil menyeru semua pihak agar menghormati proses siasatan dan tidak terburu-buru menyebarkan dakwaan yang belum disahkan.
Tambah Fadhlina lagi; "Dalam kita mengharapkan keadilan bagi kes ini, jangan pula menganiaya orang lain."
Zara Qairina Mahathir ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama perempuan pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu.
Arwah disahkan mengalami kecederaan dalaman yang serius dan koma sebelum bantuan hayat dihentikan sehari kemudian setelah doktor mengesahkan tiada lagi fungsi otak.
Must-Watch Video