Berita
"Kesakitan Sepanjang Malam Buat Saya Tak Tahan" - Chef Wan Ditahan Di Wad Akibat Kayap
Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan disahkan mengalami penyakit kayap sehingga terpaksa ditahan di wad sebuah hospital swasta di ibu kota.
Perkara itu dikongsikan Chef Wan, 62, menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
"Ditahan di wad sejak dua hari lalu kerana kayap. Sebelum membuat pemeriksaan penuh kesihatan, saya merasakan saraf kaki kanan saya agak sensitif dan sakit seperti rasa panas.
"Biarpun segala laporan perubatan saya semuanya okay, hari berikutnya saya nampak ada kelihatan seperti chicken pox muncul di kaki. Kesakitannya sepanjang malam buat saya tak tahan sehingga saya perlu ditahan di wad.
"Doktor mengesahkan ia merupakan kayap dan terus memberikan rawatan bagi mengelakkan ia menyerang saraf selain memberikan ubat tahan sakit kepada saya.
"Nasib baik saya mendapatkan rawatan secepatnya sebelum ia merebak ke bahagian atas kaki," jelasnya menerusi ruangan kapsyen.
Dalam posting tersebut, Chef Wan turut berkongsi sepotong video yang memaparkan seroang jururawat sedang membalut bahagian betis kanannya.
Perkongsian Chef Wan itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata mendoakan agar dirinya kembali sembuh seperti sedia kala.
"Saya pernah kena kayap dulu. Boleh bayangkan sakitnya macam mana. Moga cepat sembuh Tok Wan.
"Kena kuat pantang ni Chef Wan, saya pernah kena dulu. Tak ada ayam, ikan, telur, daging, jadi vegetarian untuk dua minggu, baik je bedal balik," tulis sebahagian komen netizen.
Chef Wan dalam satu entri terkini turut menunjukkan keadaan dirinya yang sudah stabil ketika menerima kunjungan kawan-kawan.
Must-Watch Video