Kesempitan Hidup Memaksa Nenek 'Jual' Cucu RM11
Seorang wanita warga emas yang hidup dalam kesempitan di Odisha mengambil keputusan menyerahkan cucunya yang berusia tujuh tahun kepada sepasang suami isteri dengan bayaran 200 Rupee (RM11).
Wanita berkenaan, Mand Soren, dipercayai menyerahkan cucunya kepada pasangan yang tidak dikenali dengan harapan kanak-kanak itu mendapat makanan, tempat tinggal dan pendidikan yang lebih baik.
Menurut pihak polis, Soren, 65, tidak mempunyai rumah, tanah mahupun bantuan daripada kerajaan.
Keadaannya semakin sukar selepas kehilangan suami beberapa tahun lalu sementara anak lelakinya hilang tanpa jejak.
Lebih menyedihkan, menantunya meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.
Tanpa sebarang sokongan, Soren terpaksa berpindah ke rumah kakaknya di Kampung Raipal dan mengemis untuk menyara cucunya.
Namun, keadaan kesihatannya yang semakin merosot menyebabkan beliau tidak lagi mampu menjaga kanak-kanak itu.
Tindakan Soren akhirnya diketahui pihak berkuasa apabila seorang penduduk tempatan melaporkan perkara tersebut.
Polis segera melancarkan operasi menyelamat dan membawa kanak-kanak itu ke balai, sebelum pegawai dari Jabatan Perlindungan Kanak-Kanak serta Pejabat Projek Pembangunan Kanak-Kanak Rasgovindpur bertemu keluarga tersebut bagi menjalankan siasatan lanjut.
Menurut pegawai perlindungan kanak-kanak, hasil siasatan mendapati wanita itu bukan menjual cucunya untuk keuntungan kewangan, sebaliknya menyerahkan kanak-kanak itu dengan niat ikhlas agar mendapat penjagaan yang lebih baik.
Kini, kanak-kanak tersebut berada di bawah jagaan Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak dan ditempatkan di Pusat Perlindungan Kanak-Kanak di Baripada.
Penduduk tempatan menyeru kerajaan agar memberikan bantuan pencen dan perumahan kepada Soren bagi meringankan beban hidupnya.
Sumber: Sinar Harian