Penyanyi Khai Bahar, berharap agar ‘Konsert Nafas Cinta Khai Bahar’ dapat mengubati kekecewaan peminat selepas konsert sulungnya pada Mac 2021 dibatalkan selepas tertunda lebih setahun gara-gara pelaksaan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Khai, konsert tersebut akan diadakan pada 12 Februari ini di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama.

Khai yang popular menerusi lagu “Bayang”, “Dari Jauh Saja”, “Luluh dan banyak lagi berkata, dia teruja dan terharu apabila pihak Nova Music memilih dirinya untuk menjayakan konsert tersebut.

“Apabila saya mendapat tawaran mengadakan konsert tahun lalu, bagi saya ia satu peluang keemasan. Namun, perancangan Allah SWT itu lebih baik.

“Saya menganggap belum ada rezeki untuk buat konsert apabila ia terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu dan selepas berbincang dengan semua pihak biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan. Apa pun saya memandang ia dari sudut positif.

“Saya juga percaya setiap apa yang terjadi itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah, saya mendapat tawaran daripada pihak Nova Music yang mahu menganjurkan konsert saya.

“Kata orang, besar tapak tangan nyiru saya tadahkan. Pelawaan itu saya anggap rezeki buat saya. Selepas membuat perbincangan, pasukan saya bersetuju untuk membuat konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar ini,” katanya.

Menurut Khai juga pemenang tiga kali kategori ‘Penyanyi Lelaki Popular’ pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) menyifatkan penganjuran Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar itu dapat mengubat kerinduan dan kekecewaan peminatnya.

“Diakui ramai sedih dan kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya dibatalkan. Saya pun tidak tahu nak memberi reaksi macam mana, sebab saya sendiri juga sedih. Macam dikatakan, saya anggap ia belum rezeki.

“Namun, kehadiran Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar ini saya harap dapat mengubat kesedihan mereka. Saya bersama pasukan dan pihak penganjur akan cuba memberikan yang terbaik.

“Biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai, sekurang-kurangnya impian dan hasrat saya serta peminat untuk menjayakan persembahan berskala besar tercapai.

“Tipulah jika dalam kerjaya seseorang penyanyi dia tidak mengimpikan sesuatu yang besar dalam karier seni.

“Begitu juga saya yang mana mengadakan konsert ini satu daripada cita-cita yang belum tercapai. Jadi, doakan semoga segala perancangan menuju konsert ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar bakal diadakan secara hybrid fizikal dan virtual live. Ini membolehkan bukan sahaja peminat Khai Bahar dari Klang Valley untuk menonton konsert ini malah peminat beliau dari seluruh Malaysia dan rantau Asia.

Selain Khai, konsert ini menampilkan naib johan AJL-35, Aina Abdul dan ‘Ratu Soundtrack’, Adira Suhaimi sebagai penyanyi jemputan.

Tiket tontonan konsert secara fizikal yang dijual dengan harga RM189.90 boleh mula dibeli pada 31hb. Disember ‘21 di ONETIX dengan melayari https://onetix.com.my/ manakala tiket tontonan konsert secara virtual yang dijual dengan harga RM69.90 (31/12/21 – 13/01/22), RM79.90 (14/01/22 – 27/01/22) dan RM89.90 (28/01/22 – 11/02/22) boleh di beli pada hari yang sama dengan melayari https://www.cloudtheatre.com/my/ .