Sekilas
- Malia Baby berpendapat sikap Fear of Missing Out (FOMO) bukan perkara besar selagi ia memberi keseronokan dan manfaat.
- Beliau menganggap ikut trend yang positif tidak salah dan boleh buat seseorang rasa gembira.
- Malia juga tidak kisah dengan pandangan orang lain kerana manusia akan sentiasa bercakap tentang dirinya sama ada baik atau buruk.
Pempengaruh, Malia Baby berpendapat sikap Fear of Missing Out (FOMO) atau keinginan untuk mengikuti sesuatu trend bukanlah perkara yang perlu diperbesarkan.
Malia atau nama sebenarnya Tengku Nur Kamalia Aisyah Tengku Norkamarulhaizan berkata selagi perkara yang dilakukan itu menyeronokkan dan memberi manfaat, tiada masalah pun untuk seseorang mengikuti trend tersebut.
“Okaylah FOMO. Sekarang saya rasa semua trend FOMO. Orang nak makan, kita pun rasa nak makan juga. Orang beli haiwan kecil-kecil, kita pun nak. Kalau rasa benda itu bagus dan beri kebaikan pada diri awak, tidak salah pun dan jadilah FOMO. Buat sahaja perkara yang buatkan awak gembira.
“Biasalah itu mereka suka berborak. Saya rasa semua orang ada FOMO. Mereka di internet, boleh nampak mereka sedang lepak, bersukan dan bersuka ria. Nampak menarik. Mereka sedang berseronok dan tak semestinya perkara yang lagha sahaja. Kalau benda yang bagus, apa salahnya,” katanya kepada Gempak.
Malia berkata demikian ketika ditemui di program My Escape 202 yang berlangsung di Hotel Awana, Genting Highlands pada Selasa.
Ditanya sama ada dia pernah ditegur kerana FOMO, Malia berkata dia tidak kisah dengan pandangan orang lain terhadap dirinya.
Menurutnya, manusia akan tetap bercakap tentang dirinya, tidak kira sama ada perkara tersebut baik ataupun buruk.
“Sebelum mereka tegur saya FOMO, saya tegur dahulu. Sebelum orang call out, kita kena call out diri kita dulu. Saya rasa bila awak sentiasa utamakan diri awak, awak tidak akan berapa kisah mengenai tanggapan orang terhadap diri awak. Itu benda yang awak kena hadap.
“Ia datang dengan pakej, baik atau buruk orang masih akan bercakap mengenai diri awak. Jadi, abaikan sahaja,” ujarnya.