Bukan sekadar peluang membintangi sebuah teater muzikal berskala besar, watak Gusti Adipati dalam Puteri Gunung Ledang (PGL) 2026 mempunyai makna tersendiri buat pelakon Yusof yang menyifatkannya sebagai antara karakter impiannya.
Justeru, sebaik terpilih untuk menggalas watak berkenaan, pemilik nama sebenar Mohd Yusuf Hashim itu mengambil inisiatif membuat persediaan lebih awal bagi memahami karakter itu, termasuk mendalami latar budaya Jawa yang menjadi sebahagian daripada identitinya.
Menurut lelaki yang juga pempengaruh ini, cabaran utama bukan hanya menguasai bahasa dan perincian budaya, tetapi mencari pendekatan tersendiri untuk menghidupkan watak yang sudah mempunyai latar serta identiti tersendiri.
“Gusti Adipati memang salah satu watak impian saya. Apabila terpilih untuk membawakan watak ini, saya mengambil peluang untuk membuat persediaan lebih awal.
“Cabaran saya adalah bagaimana mahu membawakan karakter yang sudah mempunyai identitinya tersendiri dengan cara saya sendiri,” katanya sewaktu ditemui media usai pra tonton eksklusif latihan PGL baru-baru ini.
Bagi memastikan pembawaan watak tersebut lebih meyakinkan, dia mengambil inisiatif mengikuti kelas bahasa Jawa di Solo, Indonesia, selama 10 hari sebelum latihan rasmi produksi bermula.
Malah, perjalanan itu dibiayai menggunakan wang sendiri sebagai sebahagian daripada usahanya memahami karakter berkenaan dengan lebih mendalam.
Pembelajaran tersebut akui Yusof, 33, bukan sekadar tertumpu kepada sebutan bahasa, sebaliknya turut merangkumi cara pertuturan, gerak tubuh, posisi duduk dan pandangan mata yang perlu disesuaikan dengan pembawaan seorang raja Majapahit.
Setiap perincian amat penting untuk membezakan dunia Melaka dengan Majapahit, sekali gus memastikan kedua-dua latar kerajaan itu mempunyai identiti tersendiri dalam pementasan.
“Pada awalnya, saya cuba meniru sebutan yang didengar. Apabila berjumpa dengan guru, barulah setiap kesilapan diperbetulkan, termasuk perkara kecil yang mungkin kita terlepas pandang.
“Penggunaan bahasa Jawa tidak terlalu banyak, tetapi ‘bunyi’ perlu ada supaya penonton dapat membezakan dunia Melaka dengan dunia Majapahit,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga menjelaskan peluang membawa watak Gusti Adipati turut memberinya ruang untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada satu produksi.
Sepanjang tempoh latihan, setiap elemen lakonan, nyanyian dan tarian diperincikan bagi memastikan pelakon benar-benar memahami peranan masing-masing sebelum dipersembahkan kepada penonton.
Katanya, peluang untuk mendalami sesebuah karakter tanpa perlu tergesa-gesa amat bermakna buat seseorang pelakon, terutama apabila berhadapan dengan naskhah yang menuntut komitmen tinggi.
Mengulas persediaan menjelang pementasan, dia turut mengakui aspek kesihatan menjadi antara kebimbangan utama barisan pelakon.
Menurutnya, persembahan teater memerlukan tenaga yang konsisten, manakala setiap pelakon tetap perlu memberikan komitmen penuh walaupun jumlah babak bagi setiap watak berbeza.
“Semua orang memberikan tenaga yang sama. Ada pelakon yang mempunyai banyak babak, ada yang sedikit, tetapi setiap watak tetap memerlukan tenaga apabila tiba gilirannya.
“Kalau ada yang kelihatan kurang bertenaga ketika latihan, kami akan bertanya sama ada mereka okey atau tidak. Kami saling memberikan sokongan,” katanya.
Malah dia menyifatkan kekuatan sesebuah pementasan bukan hanya terletak pada kemampuan individu menyerlah di pentas, tetapi juga kesediaan seluruh pasukan untuk saling membantu dalam menghasilkan persembahan terbaik.