Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac.

Khairy selesai menerima suntikan dos pertama buatan syarikat biofarmaseutikal dari China itu kira-kira jam 1.30 petang tadi (Rabu) di Hospital Rembau.

Selain Khairy, turut menerima suntikan vaksin hari ini ialah 10 orang petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan.

Khairy sebelum ini mengumumkan akan menjadi individu pertama menerima Sinovac, untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin buatan China itu.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi tiba di Hospital Rembau kira-kira jam 1.25 petang dan melalui tiga stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum menerima suntikan.

Ahli Parlimen Rembau itu disuntik oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital Rembau, Salha Abdul Samad di stesen keempat dan seterusnya diletakkan di bawah pemerhatian di stesen kelima.

Untuk pengetahuan, stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu, stesen kedua untuk pendaftaran pengesahan kehadiran dan stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi.