Laman Utama
Khodi Semakin Berani, Tampil Dengan Benzooloo Dalam Emosi!
Dua nama ini, Benzooloo dan Khodi datang daripada genre serta latar belakang berbeza.
Benzooloo adalah komposer dan rapper dengan corak karya lantang dan unik. Manakala, Khodi kian memikat ramai dengan kelunakan suara nyanyiannya.
Menggabungkan mereka pertama kali menerusi lagu Emosi, ternyata satu kombinasi menarik.
Paling mengujakan, Benzooloo dan Khodi sememangnya memiliki akar muzikal yang begitu kuat untuk genre masing-masing. Sekali gus, kerjasama mereka menerusi lagu ciptaan Farouk Roman ini menjadikan Emosi punya magnet tersendiri.
Lagu menggambarkan realiti zaman sekarang yang tewas dengan nafsu mengejar kekayaan. Tanpa mempedulikan hukum dan kebenaran, manusia rakus turutkan ketamakan itu. Bahkan, ada yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga sesat dan tiada arah tujuan.
“Lagu ini berkenaan sifat manusia yang boleh berubah sekelip mata apabila melihat wang atau harta di depan mata seperti mana kita selalu lihat terjadi.
"Paling saya suka mengenai emosi adalah rentaknya. Ini kerana ia pertama kali saya hasilkan rentak sebegini dan pengalaman pertama bekerja dengan Farouk.
"Bahagian paling mencabar sekali adalah mencari aliran lirik untuk lagu ini. Disebabkan pertama kali, memang ambil masa jugalah untuk dengar berkali-kali bagi mendapatkan emosi tepat dalam lagu ini," kata Benzooloo.
Khodi pula sememangnya cukup beruntung kerana sejak mula keluarkan lagu seperti Ke Mana, Lenggang dan Dia Bagiku, dia sentiasa tampil dengan genre baharu.
Rata-rata genre yang dipertaruhkan juga cukup sesuai dengan kemampuan vokalnya sekali gus membuktikan Khodi memang penyanyi versatil. Demikian juga dalam lagu Emosi ini yang baginya agak asing.
“Saya paling tertarik dengan lirik Emosi dan genre ini sangat berbeza dengan lagu saya sebelum ini. Bahagian rap Benzooloo juga menjadi bahagian yang paling saya suka dan teruja apabila digabungkan pertama kali dengannya.
"Proses rakamannya mencabar kerana genre ini terlalu baharu. Saya paling berusaha menyampaikan emosi sebaiknya dalam lagu ini.
“Selain teruja kerana lagu ini memperlihatkan sisi berbeza saya, harapnya penyampaian saya juga berjaya serta mampu menyentuh hati pendengar kelak. Sejujurnya, saya rasa lagu ini sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat sebenarnya kerana ia menceritakan tentang realiti kehidupan sekarang,” kata Khodi.
Lagu Emosi yang turut mendapat sentuhan lirik oleh Aisha Retno ini adalah lagu penutup untuk drama arahan Norhanisham Muhammad yang berjudul Scammer.
Ditayangkan di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam, bermula 24 Mei, drama berkenaan dibintangi pelakon hebat termasuk Kamal Adli, Siti Saleha, Fasha Sandha, dan ramai lagi.
Emosi boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.
Must-Watch Video