Penyanyi yang sedang mencipta nama, Khodi melihat kolaborasi bersama artis lain mampu menambah pengalaman untuk dirinya.

Menurut pemilik nama sebenar Seri Khodijah ini, salah satu impiannya adalah untuk bekerjasama dengan penyanyi senior yang dikagumi iaitu Datuk Sheila Majid.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, saya nak sangat berkolaborasi dengan artis-artis baru dan juga artis lama jika berpeluang suatu hari nanti.

"Bagi saya, kolaborasi dengan artis lain mampu memberi lebih pengalaman kepada saya sebagai seorang pendatang baru.

"Kalau boleh, saya teringin untuk berkolaborasi dengan Datuk Sheila Majid kerana saya sangat mengagumi bakat beliau," katanya kepada Gempak.

Ditanya mengenai genre muzik yang disukai, Khodi tidak mahu terikat dengan satu genre kerana lebih gemar bereksperimen dengannya.

"Saya tak mahu terikat dengan satu genre muzik sahaja, saya jenis yang suka bereksperimen dengan pelbagai genre.

"Baru-baru ini lagu Lenggang saya menampilkan genre Pop Asli, tak lama lagi single baru saya akan tampilkan genre lain pula," katanya lagi.

Selepas muncul dengan lagu Lenggang, Khodi akan sekali lagi tampil dengan buah tangan terbaru sekitar awal bulan hadapan.

Sama-sama kita nantikan!