Dalam versi standard, BMW X3 M hadir dengan keseimbangan antara kuasa dan pengendalian di dalam pakej yang mampu menarik perhatian. Tetapi ini terbukti tidak cukup memuaskan bagi Dahler, yang tampil dengan pakej naik taraf yang melibatkan aspek prestasi dan penampilan.
Juga boleh digunakan pada X4 M, pakej tersebut menjadikan enjin turbo 3.0-liter enam silinder pada kedua-dua model itu lebih kuat dengan hamburan kuasa mencecah 610PS dan 760Nm.
Selain memberikan lebih banyak kuasa, Dahler turut membuang pengehad kelajuan maksimum bagi membolehkan model ini memecut sehingga 300km/j.

Syarikat talaan dari Switzerland itu masih belum mendedahkan masa pecutan 0-100km/j, namun ia sepatutnya lebih pantas sedikit berbanding versi standard yang boleh melakukannya dalam 4.2 saat.
Katalog Dahler untuk X3 M turut membabitkan sistem ekzos keluli tahan karat yang dibangunkan sendiri oleh syarikat itu, serta sistem suspensi sport yang boleh mengurangkan ketinggian.

Turut ditawarkan adalah rim tempaan aluminium berukuran 21 atau 22 inci dalam beberapa rekaan dan kemasan berbeza, serta tayar Michelin.
Tawaran Dahler tidak terhenti di sini kerana syarikat itu mengesahkan bahawa mereka dalam proses membangunkan kit naik taraf Stage 2 yang menawarkan kuasa yang lebih tinggi, selain sistem suspensi dengan ketinggian dan kekerasan boleh laras.
