Gaya Hidup

KLFW 2016: Fadhli Salleh, Deanna Ibrahim Bukan Model Ciplak

gempak
Ahmad Shah
18/08/2016
07:03 MYT
Sponsor Banner
KLFW 2016: Fadhli Salleh, Deanna Ibrahim Bukan Model Ciplak
Bergelar model tidak semudah yang disangka kerana selain jadual yang padat, disiplin juga perlu diutamakan jika mahu berjaya dalam bidang ini.
Model popular, Deanna Ibrahim berkata, bergelar peragawati bukan untuk mengejar glamor tetapi ketepatan masa ketika bekerja adalah sangat penting di dalam bidang peragaan.
“Apabila dipanggil untuk menjayakan sesebuah kempen jenama pakaian atau peragaan, disiplin yang perlu ada dalam diri setiap model ialah patuh pada masa. Kesihatan dan pemakanan juga perlu dititik berat.
“Sebenarnya tiada yang indah atau glamor bergelar model kerana terikat dengan beberapa perkara iaitu diet yang cermat dan masa yang padat,” katanya ketika ditemui pada acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2016, baru-baru ini.
Ditanya mengenai kebanjiran ‘model ciplak’ di laman sosial menurut Deanna, model sebenar tidak pernah menggelarkan diri mereka model.
“Saya tidak fikir model akan menggelarkan diri mereka model dan mengenakan solekan tebal sepanjang masa kerana kami lebih selesa bergaya kasual dan simple jika tidak bekerja,” ujarnya.
Sementara itu bagi Fadhil Salleh, sebagai muka baru dalam dunia fesyen di Malaysia dia memilih untuk menjadikan platform ini sebagai ruang membina keyakinan diri.
“Tiada laluan mudah untuk bergelar model kerana secara peribadi, saya seorang yang agak pemalu dan perlukan kekuatan untuk berada di dalam bidang ini.
“Kebanyakan ‘model ciplak’ di laman sosial tidak tahu yang realitinya, bekerja di dalam bidang fesyen tidak semudah bergambar di tangga pusat membeli belah.
“Saya sendiri masih tidak berani nak memanggil diri saya model dan masih bertatih. Tapi saya puji sesetengah orang yang berani dan yakin mereka ‘model terhebat’,” katanya kepada Astro Gempak.
Fadhli yang juga pengasas Foodgasm Malaysia ini turut terlibat bersama Deanna Ibrahim di dalam peragaan KLFW2016 bermula 17 Ogos hingga 21 Ogos ini.
Rakaman episod khas sempena minggu fesyen Kuala Lumpur 2016, Fadhli Salleh dan Deanna Ibrahim telah mula ditayangkan di dalam segmen FU*HLIVE pada setiap Isnin hingga Sabtu, 8.30 malam di Astro Ria, Ria HD dan boleh ditonton menerusi portal Astro Gempak.
Sebelum itu, Astro Gempak kongsikan beberapa tips untuk anda sebelum ke KLFW 2016:
TIPS BERAPI KE KLFW2016
1. Pakai pakaian yang sesuai dan masuk akal. Sebarang pakaian berlampu, laser atau punyai kesan khas seperti api dan asap tidak dibenarkan. 2. Anda digalakkan berkelakuan normal ketika melihat model berjalan di atas pentas peragaan. Jangan menggunakan “kamera lensa cahaya berkuasa tinggi” bagi mengelakkan model mengalami kesan rabun sementara. 3. Sila hormati tempat yang disediakan. Jangan cuba duduk di tempat yang sudah dilabel dengan nama orang lain. 4. Jangan lambat. Hormati masa pereka dan mereka yang terlibat 5. Gunakan kesempatan di KLFW 2016 sebagai untuk mengenali pereka tempatan dan bukan spam bertubi-tubi gambar 'selfie' anda di seluruh pelusuk zon fesyen KLFW2016 dengan berpuluh hashtag.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live