Kejayaan balu Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali membeli sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire hasil duit berniaga sendiri mengundang perhatian netizen.

Bukan itu saja, pelawak Ali Puteh turut terpalit sekali lagi menerima kecaman netizen secara tidak langsung.

Tulis beberapa pengguna di media sosial menerusi muatnaik di Instagram Ali Puteh sendiri, ada yang menyifatkan situasi Hidayah itu adalah karma.

"Ko ingat orang lupa apa kau buat karma itu ada. Allah pasti balas apa kau buat. Dengar cerita kakak ipar kau dah keluar Vellfire, dulu kemain tak kasi orang tu pakai.

"Hitam dengan kakak ipar kau yang kau aniaya tu sampai kereta arwah pun kau ambil takut dia tak mampu bayar, sudahnya rezeki Allah dia dapat beli Vellfire hasil usaha dia.

"Kau tu dah lah hitam, hati pun hitam. Jangan nak bertopengkan syaitan acah-acah macam alim," demikian tulis beberapa pengguna media sosial.

Ali bagaimanapun tidak melatah, sebaliknya tampil menjawab cacian netizen dengan tenang.

"Semangat dan terus kuat bila diperkatakan..terima kasih atas kata-kata yang sangat indah ni," tulis Ali.



Hidayah sebelum ini berkongsi beberapa fotonya bersama anak lelaki tunggal, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey berdiri di samping Vellfire yang baru dimilikinya.

"Alhamdulillah syukur berkat kerja keras hasil bisnes jual sabun, daun sukun dan serum," tulisnya.

Hidayah turut menjelaskan dia tidak membeli semula kereta arwah yang sudah dijual kepada pemilik baru.

Terdahulu, Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020.

Kemelut antara Hidayah dan Ali mula tercetus hingga melibatkan beberapa prosiding mahkamah.

Hidayah pernah memfailakn saman terhadap Ali atas tuduhan memfitnahnya, mahkamah Februari lalu memutuskan kemenangan berpihak pada Hidayah.