Laman Utama
“Komen Begitu Menunjukkan Kita Miskin…” – Izwan Azir Kesal Netizen Persenda Berita Kemangkatan Ratu Elizabeth II
Penyampai radio, Izwan Azir Saleh meluahkan rasa kesal apabila segelintir wargamaya yang menjadikan berita kemangkatan Ratu Elizabeth II sebagai satu gurauan.
Berkongsi rasa kekesalan itu di Instagram, Izwan menyifatkan golongan berkenaan tidak mempunyai sifat simpati dan kurang pengetahun mengenai sejarah.
“Dah mangkat tu, mangkat sajalah, bukan Raja kita pun, apa nak kecoh? - Itu antara secebis komen segelintir rakyat Malaysia apabila mendengar khabar kemangkatan Ratu Elizabeth II awal pagi tadi.
“Komen-komen begitu bukan sahaja menunjukkan kita (rakyat Malaysia) miskin rasa simpati, tapi tak habis belajar sejarah.
“Bayangkan jika pemergian Tunku Abdul Rahman ke London dahulu untuk mendapatkan kemerdekaan, ditolak Ratu Elizabeth, agak-agaknya kita boleh hidup bebas ke hari ni?” tulisnya.
Dalam pada itu, Izwan turut berkongsi sekeping gambar dirinya sedang memeluk potret wajah Ratu Elizabeth II.
Selain itu, dia turut berpesan kepada pengguna laman sosial untuk mengingati jasa baginda Ratu Elizabeth II kerana telah mengurniakan kemerdekaan buat Malaysia.
“Kenanglah jasa baginda mengurniakan kemerdekaan untuk negara kita.
“Boleh saja jika Baginda menolak untuk mengurniakan kemerdekaan, tapi kerana baginda merasakan Malaya sudah boleh mengurus negaranya sendiri, baginda sanggup melepaskan satu daripada tanah jajahannya,” tambahnya.
Terdahulu, dunia dikejutkan dengan berita kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September di Istana Balmoral, Scotland.
Must-Watch Video