Laman Utama
Komposer Lagu ‘Suci Dalam Debu’ Meninggal Dunia
Komposer lagu popular kumpulan Iklim, Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Wan Zul meninggal dunia di Hospital Kemaman, awal pagi Khamis.
Adiknya, Che Wan Zuhaini, 58, berkata, Wan Zul, 61, yang sebelum ini dilaporkan kritikal menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.20 pagi disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru akibat melioidosis.
Menurutnya, Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 2 Oktober lalu selepas demam dan batuk teruk, selain pernah ditidurkan sebanyak dua kali sepanjang rawatan.
"Arwah sebelum ini terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan ditidurkan selepas tahap kesihatannya merosot.
"Arwah kembali stabil pada Sabtu lalu dan sudah boleh bercakap serta menunjukkan respons yang baik, namun dia sekali lagi ditidurkan pada Isnin kerana keadaannya kembali merosot," ujarnya.
Che Wan Zuhaini berkata, dia difahamkan penyakit kencing manis yang dihidapi Allahyarham menyebabkan antibodi badannya semakin lemah serta tidak mampu melawan jangkitan kuman.
Katanya, jenazah Allahyarham kini berada di hospital dan akan dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Baru Kijal.
"Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal selepas solat zuhur nanti," katanya.
Allahyarham Wan Zul meninggalkan seorang isteri, Tengku Siti Famah dan sepasang anak iaitu Che Wan Nursyikin dan Che Wan Nuradli.
Sepanjang kariernya, Allahyarham menghasilkan lagu popular kumpulan Iklim antaranya Suci Dalam Debu, Aduhai Seribu Kali Sayang dan Biografi Cinta Luka.
Allahyarham turut mencipta lagu yang turut didendangkan kumpulan dan penyanyi lain seperti Hanya Satu Persinggahan (Ekamatra), Antara Sutra Dan Bulan (Damasutra), Kerana Takdir (Saleem), Itulah Cintaku (Ilusi) serta beberapa lagu lain.
Sumber - Sinar Harian
Must-Watch Video