Penyanyi dan rapper, Yonnyboii mendedahkan dia sebenarnya tidak berada dalam kondisi terbaik sewaktu menerima projek runut bunyi filem Raya and the The Last Dragon terbitan Walt Disney Animation Studios.

Menurut Yonny, situasi tersebut walaubagaimanapun berubah 360 darjah selepas dia mendengar runut bunyi yang berjudul Trust Again itu.

“Saya sangat terharu kerana diberi peluang mewakili tanah air untuk menyumbangkan suara dalam projek ini.

“Secara jujurnya saya tidak berada dalam kondisi baik ketika di awalnya.

“Tetapi lagu ini telah membantu saya banyak perkara. Saya bangkit balik kerana lagu ini,” katanya.

Jelasnya, lagu Trust Again juga telah mengajarnya tentang pentingnya mempercayai seseorang.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya kembali percaya kepada seseorang. Saya percaya mana-mana individu wajar diberikan peluang kedua.

“Mereka mungkin ada buat silap.

“Selain itu, saya juga rasa pentingnya untuk kita percaya pada diri sendiri. Kalau tidak, memang kita ke mana,” katanya.

Yonny berkata demikian ketika sidang media pelancaran muzik video Trust Again.

Menerusi sidang media dilakukan secara virtual itu, tiga lagi penyanyi hebat dari Asia Tenggara iaitu Raisa dari Indonesia, Matthaios (Filipina) dan Sprite (Thailand) turut membuat penampilan.

Sekadar info, filem Raya and the Last Dragon adalah buah tangan pertama berinspirasikan budaya Asia Tenggara yang dibawakan Walt Disney Animation Studios.

Lebih menarik, kerjasama empat penyanyi dari Asia Tenggara menerusi lagu tema Trust Again adalah pertama seumpamanya di rantau ini.