Kecoh baru-baru ini di media sosial apabila video pendakwah tersohor, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa berkongsi doa menguatkan alat kelamin suami ketika dalam satu acara tertutup yang dihadiri tetamu wanita sahaja.

Justeru, tegas Dr. Norhafizah penularan klip itu perlu diteli daripada konteks lebih mendalam dan menyeluruh agar tidak disalahertikan segelintir pihak.

“Ketika itu kami sedang membincangkan topik mati putik jadi saya bercakap dari sudut hukum hakam dan bagaimana Islam melihat tentang keperluan melayan suami.

"Jadi doa yang saya kongsikan itu memang doa yang diperlukan untuk memohon kepada Allah SWT bagi mengatasi masalah tersebut kepada sesiapa yang menghadapi masalah seperti itu.

"Bukanlah doa itu tidak ada sandarannya, saya dah kongsi juga sandaran, nama kitab dan nama ulama’ yang menyebut doa tersebut tetapi saya nak jelaskan doa itu bukan disandarkan oleh Rasulullah SAW,” jelasnya ketika dihubungi Gempak.

Artikel Berkaitan: Ustazah Kongsi Doa Supaya Alat Kelamin Suami Lebih Kuat & Tahan Lama, Netizen; "Macam Tak Sesuai Depan Khalayak Ramai"

Video yang berdurasi 1 minit 34 saat tersebut menerima pelbagai reaksi dari netizen yang mempersoalkan tindakannya.

Namun, ada juga sebahagian warganet yang menerima perkongsian doa tersebut secara terbuka.

Bagaimanapun, tambah Dr. Norhafizah lagi, pendirian tentang perkongsian ilmu dan doa itu bergantung pada individu masing-masing.

"Ustazah bukan buat lawak lucah, bukan cakap benda-benda yang tidak sepatutnya saya hanya berkongsi doa itu untuk majlis ilmiah dan yang datang itupun memang ada yang hadapi masalah tersebut.

"Jadi, mungkin yang komen negatif itu tidak memerlukan doa itu, sebenarnya lebih baik netizen yang kritik itu tonton video penuh dan bersangka baik.

"Tapi saya bersyukur juga kerana ada segelintir yang berterima kasih dan ingin mengamalkan doa tersebut,” ujarnya.