Laman Utama
Konsert Sheila Majid Big Band Hanya Berlangsung Satu Malam Saja! - “Kalau Peminat Nak Lagi Mereka Boleh…”
Bakal mengadakan konsert pada 18 Mac tahun hadapan, penyanyi Datuk Sheila Majid memberitahu peminat hanya akan dapat menonton persembahannya hanya satu malam sahaja.
Menurut Sheila, tiada malam kedua memandangkan dia mahu menjadikan konsert ‘Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023’ momen istimewa buat peminatnya.
“Sebenarnya saya lebih suka buat satu malam saja sebab bagi saya, ia satu momen istimewa yang boleh dirasai buat satu malam saja dan selepas itu tiada lagi.
“Kalau untuk konsert amal, mungkin saya boleh lakukan untuk malam kedua tapi selalunya untuk konsert besar sebegini, tiada malam kedua buat saya. Kalau peminat nak lagi, mereka boleh datang pada konsert seterusnya.
“Sebab kadang-kadang kita tak boleh terlalu bercita-cita tinggi, buat apa anjurkan dua atau tiga malam tapi tak laku. Jadi siapa yang nak tengok konsert ini kena beli tiket cepat,” katanya kepada Gempak.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sinaran itu ditemui di sidang media Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023, di Le Méridien Petaling Jaya pada semalam.
Sementara itu, Sheila berkata dia mahu mengubah persepsi segelintir masyarakat yang beranggapan tiket ‘sold out’ itu tidak bermaksud sudah habis.
“Saya tahu ada yang ingat bila penganjur umumkan tiket habis, mereka tak percaya. Mereka ingat bila pergi ke lokasi, tiket masih ada dijual.
“Kalau dah sold out, memang betul sold out… jadi saya mahu ubah persepsi itu sebab itu memang saya tidak akan buat malam kedua,” ujarnya lagi.
Tiket Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur 2023 dijual dari harga serendah RM288 (Bronze), RM488 (Silver), RM588 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond) dan RM1,288 (VVIP). Ia boleh dibeli menerusi www.Jiobuddy.asia.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
Must-Watch Video