HIBURAN
Konsert Think Thailand 2025 Bawa Dua Legenda Muzik Ke Resorts World Genting
Konsert Think Thailand 2025 menampilkan A Night of Legends: Atom Chanakan dan Getsunova bakal menggegarkan Arena of Stars, Resorts World Genting pada 3 Mei ini.
Resort World Genting menjadi saksi kepada perayaan gilang gemilang muzik, budaya dan kreativiti Thailand dengan penganjuran Konsert Think Thailand 2025 dianjurkan oleh DITP Malaysia dengan sokongan Amazing Thailand.
Ia bukan sekadar persembahan, malah manifestasi kukuh pengaruh ‘kuasa lembut’ Thailand yang semakin menyerlah di persada antarabangsa, sekali gus membuktikan seni, muzik dan inovasi membentuk jati diri negara Gajah Putih itu di mata dunia.
Dua nama besar dalam persada muzik Thailand, Atom Chanakan yang dikenali dengan jolokan ‘putera balada’, selain keupayaannya menyentuh hati pendengar menerusi suara baldu dan persembahan penuh emosi di seluruh Asia.
Tidak ketinggalan, kumpulan rock alternatif Thailand, Getsunova tampil dengan adunan bunyi rock bertenaga dan inovasi elektronik mendebarkan. Dua gergasi muzik itu bakal bergabung tenaga untuk persembahan eksklusif yang merangkumi kreativiti, jiwa dan dinamik moden Thailand.
Pengarah Tourism Authority of Thailand, Sirinthara Suraakanitaya berkata, Konsert Think Thailand 2025 dilihat sebagai platform penting untuk mempamerkan kuasa Thailand dengan keupayaan mempengaruhi minda dan emosi melalui kekayaan budaya, nilai murni dan daya kreativiti.
“Identiti dan budaya Thailand unik, selain industri seni kreatifnya berkembang pesat hingga mendapat pengiktirafan global sebagai aset bernilai. Muzik memainkan peranan sebagai salah satu duta paling gemilang.
“Penonton akan berpeluang menyaksikan semangat artistik Thailand melangkaui batasan geografi, mewujudkan hubungan emosi berkekalan melalui melodi, gaya penceritaan dan persembahan bertenaga.
“Konsert ini mendapat sokongan agensi di bawah Tourism Authority of Thailand, Amazing Thailand yang berdedikasi mempromosikan landskap budaya Thailand yang pelbagai.
“Dengan memberi sokongan dan memupuk bakat kreatif seperti Atom Chanakan dan Getsunova, Amazing Thailand memainkan peranan dalam memperkuat suara Thailand di peringkat antarabangsa, selain mempamerkan negara bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan menarik, malah sumber inspirasi, inovasi dan kreativiti dinamik,” katanya.
Suraakanitaya berkata, Konsert Think Thailand 2025 bakal menjadi saksi bagaimana muzik, seni dan budaya memberi inspirasi, pengaruh dan menghubungkan sesama manusia.
“Lebih istimewa, peminat berpeluang bertemu secara eksklusif dengan Atom Chanakan dan Getsunova menerusi sesi Meet & Greet yang hanya terhad kepada 100 pembeli tiket konsert terawal.
“Peluang unik ini menjanjikan interaksi peribadi yang tidak ternilai dengan legenda muzik ini.
“Konsert ini menjadi acara yang tidak boleh dilepaskan kerana membuktikan pengaruh ‘kuasa lembut’ Thailand melalui bahasa dan universal muzik, selain konsert dari Thailand pertama di Resorts World Genting,” katanya.
Must-Watch Video