Usahawan muda Vivy Yusof yang pengasas FashionValet dan dUCK Group, menamatkan tugasnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini (Isnin).

Berita tersebut diumumkan di laman sosial Instagram UiTM pagi tadi, disamping mengucapkan terima kasih di atas perkhidmatan dan bakti dicurahkan Vivy.

Vivy Sofinas Yusof atau lebih dikenali sebagai Vivy Yusof dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah (UiTM) pada 26 Mei tahun lalu oleh Kementerian Pendidikan.

Pelantikan ikon bisnes fesyen berusia 31 tahun itu selama satu tahun di UiTM dilihat mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar dan alumni institusi pengajian tinggi awam itu sendiri.

Antara kejayaan beliau dalam dunia perniagaan ialah berjaya memenangi Bella Business Award 2013, Women’s Weekly Malaysia’s Finance and Commerce Nominee untuk anugerah Great Women of Time Awards 2015 dan tersenarai dalam 60 Wanita Inspirasi Nona.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Usahawan Muda daripada Tribute To Women Malaysia dan pada April 2017 dan Vivy disenaraikan sebagai salah seorang individu daripada Forbes 30 Under 30 di Asia.