Kos untuk mengadakan majlis perkahwinan dan mas kahwin yang dilihat tidak berbaloi menjadi punca sekumpulan lelaki berbangsa Cina seramai 50 orang membuat perjanjian untuk kekal bujang seumur hidup.

Menggelarkan diri mereka sebagai ‘Persatuan Bujang Lama’,berasal dari Teluk Intan, Perak, kumpulan tersebut hanya menghabiskan masa mereka dengan berkumpul di tepi jeti Sungai Perak dan berborak sesama sendiri.

Difahamkan, ahli tertua dalam persatuan tersebut berumur 79 tahun sementara yang paling muda berumur sekitar 40 tahun.

Sementara itu, menerusi laporan The Asean Post, purata kos perkahwinan di Malaysia dianggarkan antara RM50,000 hingga RM200,000 tidak termasuk perbelanjaan bulan madu, kira-kira 10 tahun lalu.

Berdasarkan kepada laporan tersebut, sebagai salah seorang ahli ‘Persatuan Bujang Lama’, Liong menyatakan mustahil untuk dia menyimpan sejumlah wang yang sebegitu banyak.

“Itu 10 tahun lalu, dan sekarang jika tidak mempunyai RM300,000, siapa yang mahu berkahwin dengan saya? Selain itu, bagaimana saya hendak menyimpan sehingga jumlah wang itu dengan pekerjaan biasa saya?

“Sebab itu lebih baik saya membujang sehingga tua. Saya boleh melakukan apa sahaja yang saya mahu, untuk bertemu dan berbincang dengan rakan-rakan saya sehingga subuh dan tiada siapa yang akan menghalang saya,” kongsi Liong.

Menurut seorang lagi ahli, Lee Tiong Lai, 79, mengakui pernah mempertimbangkan untuk berkahwin namun menggugurkan niatnya selepas menyedari kos perkahwinan yang terlalu tinggi.

Kongsi Lee lagi, dia pernah mempunyai teman wanita tetapi keluarga wanita itu meminta kira-kira RM250,000 daripadanya sebagai mas kahwin.

"Saya hanya menanam sayur-sayuran untuk hidup, jadi bagaimana saya boleh mencari wang sebanyak itu?" ujarnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berpotensi melonjakkan harga terutamanya barangan pengguna dan bahan mentah yang diimport, sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat di Malaysia.

Menurut seorang ahli Ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata penurunan ringgit akan menjadikan kos sara hidup tinggi, yang berpunca dari kos import yang tinggi.

Beliau berkata, penggunaan isi rumah terutamanya bahan makanan utama adalah sangat bergantung kuat kepada import.

Hal tersebut turut memperlihatkan urusniaga dan pekhidmatan yang tersedia di Malaysia turut meningkat termasuk kos untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Sumber – Portal Syok, The Asean Post, Berita Harian