Bekas pemain hoki Malaysia, Datuk Mirnawan Datuk Hj Nawawi menjadi peserta pertama program The Masked Singer Malaysia yang tersingkir malam tadi.

Mirnawan, 49, menyatakan dia sukakan cabaran justeru dia lantas menerima tawaran yang ditawarkan pada awal bulan Ogos lalu.

"Masa dapat tawaran daripada pihak produksi memang terperanjat. Ini memang satu program yang besar di seluruh dunia.

"Kalau kita tengok pun dia ada keunikan tersendiri di mana peserta diperlukan menyanyi dan memakai kostum. Elemen kejutan itu ada.

"Saya pulak seorang yang suka cabaran. Kalau tengok program ini memang jauh dari bidang sukan yang saya ceburi.

"Tetapi saya lihat ini sebagai cabaran untuk seorang ahli sukan menyertai program sebegini. Jadi saya sahut cabaran," katanya kepada Gempak.

Tambah Mirnawan, dia memilih kostum Nasi Lemak kerana ia adalah strategi untuk menyukarkan juri meneka.

"Nasi lemak sangat misteri. Bila seorang atlet pakai kostum Nasi Lemak kemungkinan rata-ratanya tidak terfikir itu adalah saya.

"Ternyata betul percaturan saya. Bukan sahaja juri yang terkejut malah Datuk AC Mizal juga yang merupakan 'batchmate' saya masa di Maktab Tentera Diraja," katanya.

Dulu main hoki, sekarang di sebalik rupa nasi lemak, dia menyanyi. Sayangnya hanya sampai di sini, Cik Mak kita rupanya seorang lelaki. Inilah dia, Datuk Mirnawan Nawawi. . #TheMaskedSingerMalaysia #TheMaskedSingerMY #SiapaDiSebalikTopeng

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak) on


Dalam pada itu, bekas kapten untuk pasukan kebangsaan Malaysia dari tahun 1998 hingga 2002 ini mendedahkan kostum pilihan pertamanya adalah Orang Utan.

"Sebenarnya saya nak pakai Orang Utan sebab nampak 'cool'. Itu memang pilihan pertama saya.

"Nasi Lemak ini pilihan saya kedua. Tapi sayang dah ada orang lain ambil.

"Alhamdulillah tak ada masalah pun nak pakai. Tak panas cuma dia mengehadkan pergerakan.

"Di bahagian kepala kostum pula diolah semula untuk keselesaan saya," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Minggu pertama menyaksikan Orang Utan mengungguli di tempat pertama dengan dendangan lagu Sinaran nyanyian asal Datuk Sheila Majid.

Manakala, Nasi Lemak pula terpaksa akur berada di kedudukan paling bawah dengan nyanyian lagu Anak Kampung dendangan asal Jimmy Pelikat.

BACA: The Masked Singer Malaysia: Nasi Lemak Tersingkir..Ini Kedudukan Peserta & Markah Minggu Pertama

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.