Dua diva Malaysia dan Indonesia, Noryn Aziz dan Krisdayanti bakal berkongsi pentas sempena konsert Krisdayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia pada 29 Oktober nanti!

Kata Belvas Lee mewakili ACO MEDIA dan Asia Momentum Media (AMM), kedua-dua diva yang memenangi pelbagai anugerah ini telah berada dalam industri muzik selama beberapa dekad dan konsert terbabit akan memberikan pengalaman baharu kepada peminat mereka.

"Konsert ini merupakan ‘customize concert’. Bagi kami, Kris Dayanti merupakan diva di Indonesia manakala Noryn Aziz pula Diva kesayangan ramai di Malaysia.

"Kami percata bahawa kolaborasi dua diva ini akan mengegarkan pentas dan pastinya ada kejutan-kejutan yang bakal diberikan kepada para peminat mereka nanti. Jadi jangan lepaskan peluang menyaksikan dua Diva ini beraksi di sebuah pentas," ujarnya.

Kris Dayanti memulakan kerjaya muziknya pada tahun 1984 manakala Noryn Aziz memulakan kerjayanya pada tahun 1996. Oleh itu, ini pastinya merupakan kerjasama legenda ‘cross-country’!

Kris Dayanti, penyanyi dan pelakon popular Indonesia, akhirnya bakal mengadakan konsert semula di Malaysia selepas 5 tahun tidak muncul bertemu peminat di Kuala Lumpur khususnya.

Diva yang terkenal dengan hits, ‘Menghitung Hari’ mula menyanyi pada usia 9 tahun untuk filem ‘Megaloman’. Lagu-lagu hebat Kris Dayanti dan persembahan langsung yang dinamik telah menjadikannya terkenal di Indonesia dan di seluruh dunia.

Noryn Aziz, salah seorang penyanyi dan penulis lagu jazz dan R&B terhebat di Malaysia, memulakan kerjaya muziknya pada tahun 1996 sebagai ahli kumpulan Sister-Sister dan kemudian menjadi penyanyi solo pada tahun 1997 menerusi album solo pertamanya, 'Fantasi O Realiti'.

Konsert duo yang hebat ini akan berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC) pada 29 Oktober (Sabtu) dan tiket akan mula dijual mulai 7 Oktober 2022, 3 petang.

Dalam konsert ini, mereka berdua akan mempersembahkan lagu hits mereka seperti ‘Menghitung Hari’ oleh Kris Dayanti dan ‘Cerita Cinta’ oleh Noryn Aziz.

Peminat juga boleh menjangkakan beberapa duet yang mengejutkan daripada duo yang hebat dengan vokal bertenaga ini!

Tiket berharga RM288, RM488, RM788, RM988 dan RM1,188 boleh dibeli di https://www.ticket2u.com.my/.