Penyanyi popular, Krisdayanti yang juga Dewan Perwakilan Rakyat PDI Perjuangan di Indonesia mengakui mengalami kesukaran untuk mendapatkan minyak masak selepas merasakan kesan kekurangan stok minyak masak di pasaran beberapa minggu lalu.

“Ya, dalam masa sama, saya juga sukar mencari minyak masak. Jika dapat sekalipun, harganya tinggi. Tetapi kerana saya perlukannya, saya tetap beli.

“Tambahan pula, saya inginkan minyak masak bersih (yang dipakai hanya 2 kali) untuk anak-anak,” ujarnya kepada Kumparan.

Penyanyi lagu Cobalah Untuk Setia itu memberitahu yang dia biasanya membeli minyak masak di pasar dan juga pasar raya.

Tetapi kini, dia meminta kakitangannya membeli minyak masak di mana-mana asalkan ada. Krisdayanti menegaskan bahawa masalah minyak masak dialami oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam masa yang sama, dia juga bingung dengan sikap Menteri Perdagangan tidak berbuat apa-apa walaupun sedar harga minyak masak melambung disebabkan oleh tindakan pengedar yang menahan bekalan minyak masak hasil Domestic Market Obligation.

Memetik laporan Republika pula, Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi mendedahkan puluhan juta liter minyak masak yang diagihkan ke Jakarta, Medan dan Surabaya telah lesap dari pasaran.

Kekurangan itu berlaku pada ketika kerajaan masih menguatkuasakan dasar harga runcit tertinggi maksimum Rp14 ribu (RM4.10) seliter untuk pembungkusan premium.