Laman Utama

Kritik Penganjuran Konsert Blackpink, PU Syed Terima Ugutan Bunuh; “Pistol Dah Beli, Kamu Akan Ditembak”

gempak
Shahrin Zulkifle
13/03/2023
03:00 MYT
Sponsor Banner
Kritik Penganjuran Konsert Blackpink, PU Syed Terima Ugutan Bunuh; “Pistol Dah Beli, Kamu Akan Ditembak”

Gara-gara menentang penganjuran konsert kumpulan popular dari Korea Selatan iaitu Blackpink, pendakwah bebas PU Syed mendedahkan dirinya menerima mesej ugutan bunuh daripada seorang individu tidak dikenali baru-baru ini.

Biarpun bukan pertama kali menerima ancaman sedemikian, Syed dalam masa menjelaskan individu yang menggunakan akaun palsu itu turut mendoakan perkara tidak elok terjadi kepada anak-anaknya.

“Saya dapat satu mesej, ancaman untuk menembak saya dan mendoakan anak-anak saya kena virus disebabkan saya menentang penganjuran konsert Blackpink baru-baru ini.

“Ancaman seperti ini adalah biasa bagi pendakwah-pendakwah, malah jika kita dapat lihat dalam sejarah para Rasul bagaimana mereka diancam seperti dalam surah yassin.

“Jadi saya bukan Rasul, hanya seorang pendakwah yang mengajak orang mencegah kemungkaran, mengajak orang melakukan kebaikan.

“Walaupun saya tahu ini fake account, tapi selagi mana hayat yang saya ada ini akan terus menegakkan dan mencegah kemungkaran yang ada tak kira siapa pun dengan izin Allah,” katanya menerusi satu hantaran video di laman TikTok.

@pu_syedofficial
ancaman yg saya telah terima semalam. rentetan isu konsert black pink yg saya tegah dan menentangnya dari diadakan.. حسبنا الله ونعم الوكيل
♬ Sholawat Nabi - Maghfirah M Hussein

Dalam pada itu, Syed berkata dia meminta orang ramai agar sedar dan tidak lalai dengan nikmat dunia selain berpesan untuk terus mencegah kemungkaran.

“Saya minta semua, marilah buka mata dan minda untuk kita yang berada di akhir zaman ini untuk terus mencegah kemungkaran.

“Sebab saya risau dengan anak dan cucu kita pada masa hadapan nanti kalau tidak kita selamatkan daripada lembah kehancuran,” katanya lagi.

Sementara itu, Syed turut berkongsi tangkap layar yang memaparkan mesej daripada individu tersebut.

“Sedia kau! Pistol dah siap beli, kamu akan ditembak. Saya sumpah! Anak kau akan mati dengan virus,” tulis individu berkenaan.

Terdahulu, Syed pernah menyatakan bantahan agar tiada lagi penganjuran konsert di Malaysia yang melibatkan artis antarabangsa termasuk kumpulan Blackpink. Jelas Syed, dia mahu panganjuran tersebut dibatalkan agar maksiat dalam negara tidak terus berleluasa.

Minggu lalu, konsert Blackpink yang diberi nama BornPink telah berlangsung dengan meriah di Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga dihadiri oleh lebih 60,000 peminat seluruh negara.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024