VIRAL
Kucing Suka ‘Lepak’ Dalam Peti Sejuk, Suami Isteri Siap Pasang ‘Child Lock’ Di Rumah
Sepasang suami isteri dari Kota Damansara di sini, terpaksa mengambil langkah luar biasa dengan memasang kunci keselamatan kanak-kanak atau child lock pada peti sejuk di rumah.
Menurut Umie Naziyrah Mat Desa, 32, tindakan itu bukan kerana anak kecil, tetapi demi menghalang kucing peliharaan mereka yang gemar berehat di dalamnya.
Langkah itu dibuat selepas beberapa insiden pintu peti sejuk terbuka sendiri akibat perbuatan kucing mereka bernama Miko yang gemar 'melepak' di dalam ruang sejuk tersebut.
"Selepas kami pulang beraya dari kampung, saya dan suami saling menyalahkan satu sama lain kerana pintu peti sejuk terbuka. Kami sangka mungkin salah seorang daripada kami terlupa menutupnya semula.
"Selepas disiasat, rupanya anak kucing peliharaan kami yang membukanya sendiri," katanya kepada Sinar Harian.
Umie Naziyrah berkata, gelagat Miko yang berusia dua tahun itu sempat dirakam sebagai bukti.
"Kami merasakan aksi tersebut amat menggelikan hati kami suami isteri," ujarnya.
Menurutnya, mereka akhirnya terpaksa membeli kunci keselamatan kanak-kanak disebabkan Miko membuka peti sejuk sendiri setiap hari.
"Pernah satu malam, Miko membuka pintu peti sejuk dan pintu itu terbuka sampai subuh," kongsi Umie Naziyrah lagi.
Bagaimanapun, kata beliau, walaupun Miko kerap masuk ke dalam peti sejuk, haiwan itu tidak pernah mencuri makanan di dalamnya.
"Miko hanya berehat menikmati suhu sejuk," katanya yang membela dua ekor kucing termasuk seekor kucing jenis British Shorthair yang cacat sebelah mata.
Terdahulu, video gelagat Miko yang dikongsikan Umie Naziyrah menerusi akaun TikTok @umienaziyrah meraih sehingga 850,400 tontonan dengan 78,800 tanda suka.
Sumber - SINAR HARIAN
Must-Watch Video