Penyanyi Aiman Tino masih menerima rawatan susulan selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Rawang akibat demam panas dan sakit perut sejak beberapa hari lalu.

Menurut ibunya, Hazlina Mat Jalil, 42, pemeriksaan endoskopi telah dijalankan hari ini dan doktor mengesahkan kuman telah memasuki bahagian usus besar Aiman.

"Perut banyak asid dan ada radang sebab makan tak menentu, kuman pun telah masuk ke bahagian usus besar.

"Jadi, sekarang Aiman dirawat dengan antibiotik dan perlu menjaga pemakanan," katanya ketika dihubungi Gempak.

Sementara itu, kakak Aiman, penyanyi Fara Hezel memberitahu pemantauan masih dilakukan sehingga betul-betul sembuh.

"Keadaan Aiman sekarang masih lemah dan memerlukan rehat yang secukupnya.

"Menerusi pemeriksaan endoskopi, doktor mengesahkan selesema yang dialaminya bukan disebabkan tonsil sebaliknya masalah usus.

"Sama-sama kita doakan agar adik saya segera sembuh," katanya.

Aiman kebarangkalian dibenarkan pulang pada Khamis atau Jumaat.

Gambar Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri, 20, yang terlantar di katil hospital tular di media sosial sejak semalam.