Anggota kumpulan Zero, Sharif dan Syaiful, menafikan wujud konflik di antara mereka dengan Atu sehingga menyebabkan perpecahan kumpulan.

Kata Sharif, mereka menerima keputusan Atu untuk tidak bersama-sama dengan Zero ni pentas Maharaja Lawak Mega (MLM 2021).

Tambahnya, sudah tiba masa Zero mencari kelainan selepas beberapa musim bersama dan tidak ada isu kecil hati atau bermusuh.

“Tak mungkin kami bergaduh adik-beradik. Kami menerima keputusan Atu dengan hati yang terbuka dan menyokong pembabitannya di MLM 2021 bersama Achey dan Fad dalam kumpulan Boro.

“Kami pula akan bersama-sama dengan Danial Zaini membentuk kumpulan baru yang kami namakan Tiro, dan percaya gandingan ini mampu memberi saingan sengit kepada kumpulan-kumpulan lain.

“Kalau ‘bergaduh’ pun nanti di pentas MLM 2021…Sebab kami dah jadi pesaing. Pesaing kepada Boro, Puteh, Orix, Otai dan ramai lagi. ‘Bergaduh’ secara sihatlah,” katanya.

[[BACA: #MissK: Kumpulan Zero Berpecah? Alamak Takkan Adik-Beradik Bergaduh...]]

Sharif dan Syaiful juga berbesar hati apabila Danial sudi bergandingan dengan mereka.

“Macam tak sangka pun ada, bila Danial terus bersetuju. Lagi pula, Danial merupakan bekas juara Lawak Solo dan ketika bersama kumpulan Heart di Muzikal Lawak Superstar juga mereka johan.

“Kami percaya bakat luar biasa dimiliki Danial dan akan serasi bersama. Kami juga suka dengan idea-idea baru dia,” katanya ketika majlis sidang media MLM 2021 secara virtual pada petang Khamis.

MLM 2021 bakal kembali menceriakan malam Jumaat anda bermula 15 Oktober ini, pukul 9.00 malam selama 10 minggu selepas setahun berehat.

Sebelas kumpulan yang terdiri daripada gandingan duo dan trio pemain komedi tanah air bakal berentap, menggegarkan pentas keramat MLM tahun ini, merebut hadiah lumayan berbentuk wang tunai RM500,000!

Mengangkat tema ‘Aura Baharu, Lawak Terpadu’, program realiti pertandingan komedi yang dinantikan ramai ini bersiaran secara langsung dari Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan ditayangkan eksklusif di Astro Warna (saluran 107) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Mengekalkan susuk figura yang cukup versatil dalam industri seni tanah air, Dato’ AC Mizal kekal selesa berada di posisi pengacara.

Ini merupakan penampilan kesembilan beliau bertindak sebagai pengemudi utama, seiring dengan usia program MLM yang pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 2011.

Dalam pada itu, penyampai radio SINAR, Dina Nadzir bertindak sebagai pengacara “Backstage MLM 2021”, edisi sisipan di belakang pentas atau di sebalik tabir MLM 2021.

Manakala penyampai radio GEGAR, Issey Fazlisham dan penyanyi baharu kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz memegang peranan sebagai pengacara program Live Plus (Live +).

Untuk produksi tahun ini, beberapa kelainan ditampilkan bagi memberi nafas baharu dan suntikan yang lebih segar kepada keseluruhan latar persembahan MLM 2021.

Di antaranya dengan memperkenalkan karakter juri misteri atau Naga Juri, yang juga merupakan salah seorang dari empat orang lagi Juri Tetap.

SENARAI PESERTA MAHARAJA LAWAK MEGA 2021

1. KUMPULAN BORO : Achey, Atu & Fad

2. KUMPULAN PUTEH : Mamak, Vicha & Ali

3. KUMPULAN 3OTAK : Phoon Chi Ho, Farid Azmier & Parakash Daniel

4. KUMPULAN R&R : Man & Rahim

5. KUMPULAN TOBAT : Shuk Sahar, Bell Ngasri & Ropie

6. KUMPULAN OTAI : Azlee, Ieda Moin & Acong

7. KUMPULAN ORIX : Achok, Yassin & Abu Mamu

8. KUMPULAN CAWAN : Aliff Yasraf, Wan Gegau & Che Mat Raja Lawak

9. KUMPULAN TIRO : Sharif (Botak), Syaiful (Melati) & Danial Zaini

10. KUMPULAN BAHYE : Zahid, Nizam Jentik Jentik & Shashic

11. KUMPULAN TAICI : Chiwan, Tapai & Ilham