Tiada sebarang kata-kata, pelakon Syamsul Yusof yang keluar dari dewan mahkamah selepas selesai prosiding sebutan pertama kes perceraian yang difailkan isterinya Puteri Sarah hanya menunjukkan isyarat ‘peace’ dan ‘Allah Yang Satu’.

Meskipun diasak pertanyaan pihak media, Syamsul, 39, bagaimanapun tetap mengunci mulut lalu berlalu pergi.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Syamsul iaitu Roshdan Sujak Rafie memberitahu sebutan pertama fail perceraian tidak menemui jalan persetujuan.

“Tidak ada persetujuan daripada pihak defendan untuk menceraikan plaintif pada hari ini. Jadi pada hari ini mahkamah dah tubuhkan satu Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang akan diwakili oleh wakil kedua pihak dan akan diteruskan dengan sesi tersebut pada 10 April.

“Jadi pada sesi akan datang akan ada sesi laporan daripada Jawatankuasa Pendamai (JKP),” katanya kepada Gempak.

Susulan tindakan Syamsul yang enggan melepaskan Puteri Sarah, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan memerintahkan kedua-dua pihak untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Terdahulu, permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Sarah iaitu Ira Kazar.

Untuk info, Sarah dan Syamsul telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam dan Summayah.