Teka teki sama ada Lady Gaga menyertai filem yang pernah mencetuskan fenomena, Joker kini terjawab.

Melalui kemas kini dalam akaun Instagramnya, penyanyi dan pelakon itu menampilkan sedutan naskhah Joker 2 yang akan digarap dalam bentuk muzikal dengan judul Joker: Folie à Deux.

Folie à Deux merupakan perkataan yang membawa maksud mengenai gangguan mental atau delusi.

Lady Gaga akan berganding dengan hero yang memenangi Oscar berkat lakonan hebatnya dalam filem tersebut pada tahun 2019, Joaquin Phoenix.

Variety melaporkan Gaga membawa karakter Harley Quinn yang merupakan antara sahabat baik Joker selain Batman menerusi siri animasi yang dihasilkan pada awal tahun 1990an.

Karakter Harley Quinn sebelum ini pernah dibawakan oleh Margot Robbie, sementara Kaley Cuoco pernah meminjamkan suaranya dalam animasi siri Hayley Quinn yang ditayangkan diHBO Max.

Sementara itu pengarahnya, Todd Phillips memaklumkan naskhah terbaharunya itu akan ditayangkan sekitar Oktober 2024.