Kumpulan muzik popular, Caliph Buskers tampil dengan single terbaru berjudul Hanya Mimpi yang menampilkan Nadira sebagai vokalis.

Jika sebelum ini, kumpulan tersebut lebih mengetengahkan anggota mereka, Azmi Saat sebagai penyanyi utama.

Nadira sebelum ini pernah mencuri perhatian peminat mereka ketika menyanyi dalam sebuah video yang menyaksikan kumpulan itu menyampaikan lagu popular, Haram nyanyian asal Hael Husaini bersama Dayang Nurfaizah.

Bagi single terbaru kali ini adalah ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Romeo.

"Pada awalnya saya dapat tawaran menyanyikan lagu ini, saya macam gementar dan tak yakin boleh buat tapi Faizal kata boleh jadi saya teruskanlah," katanya.

Menariknya, lagu ini membawa kelainan dengan nyanyian duet Nadira bersama Azmi menerusi genre pop rock.



Bagi Azmi, mereka sangat seronok mendapat lagu baru ini yang menjadi single keempat kumpulan itu.

"Ini kali pertama Caliph Buskers dapat lagu rancak sikit dan lagu yang memberi semangat bukan lagu sedih-sedih sebelum ini.

"Kali pertama dengar sebab tak biasa dengar lagu rancak, ambil masa sedikit. Bila dua hingga tiga kali dengar, balik rumah buat latihan sikit rasa macam sedap," katanya.

Ujarnya, dia menyukai lagu terbitan Faitful Music kerana lirik yang terus masuk ke dalam hatinya.

"Sebab itu saya rasa lagu ini sangat bermakna buat Caliph Buskers," katanya.

Single terbitan Faithful Music dan edaran Warner Music Malaysia ini dilancarkan sejak 16 November lalu yang boleh didapati menerusi platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan iTunes.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak