Laman Utama

“Lagu Ni Ada Sebelum Anak Saya Lahir Lagi”- Hapus Kesedihan, Azmi Saat Ubat Rindu Dengan Permataku

gempak
Syafiqah Jalal
23/07/2022
08:48 MYT
Sponsor Banner
“Lagu Ni Ada Sebelum Anak Saya Lahir Lagi”- Hapus Kesedihan, Azmi Saat Ubat Rindu Dengan Permataku
Pernah melalui episod duka apabila kehilangan anak tersayang tidak sesekali mematahkan semangat penyanyi, Azmi Saat untuk bangkit dari kesedihan.
Malah Azmi yang juga ahli kumpulan Caliph Busker itu tampil solo dengan lagu Permataku yang dicipta khas oleh komposer Ajai buat cahaya mata syurganya.
“Sebenarnya lagu ini sudah ada sebelum anak saya lahir lagi. Saya dan Ajai berbincang untuk merakamkan sebuah lagu sempena kelahiran orang baharu ketika itu.
“Apabila anak hanya sempat melihat dunia seketika sahaja, kami ada berbincang semula mengenai lirik dan sebagainya. Daripada perbincangan itulah kami mengubah sedikit hujung lagu ini sebagai ‘tanda’ kehilangan.
“Apa-apa pun lagu ini bukanlah berkisahkan tentang kehilangan anak sahaja. Apa-apa keadaan pun kita boleh kaitkan berdasarkan pemahaman masing-masing,” jelas Azmi.
Bayi lelaki Azmi yang dilahirkan pada 27 September 2021 hanya bertahan selama tiga hari sahaja dan pergi buat selama-lamanya, meninggalkan seribu satu duka kepada mereka suami isteri.
Anak syurga yang diberi nama Khairul Afnan itu merupakan cahaya mata yang dinanti-nantikan selama 10 tahun.
Pun begitu Azmi bersyukur kerana dapat melalui semua proses menyambut kelahiran anak dan merasai detik indah menjadi bapa meskipun seketika.
Dia juga berbesar hati apabila Ahmad Fedtri Yahya menterjemah apa yang telah dirasai dan sedang dilalui menerusi bait-bait lirik yang begitu indah.
“Apabila mendengarkan sahaja lirik tersebut buat kali pertama, saya gembira sebab ia memang merupakan isi hati saya. Tak ada sebarang perubahan yang dilakukan kerana saya percaya ini yang terbaik.
“Tapi apabila kami memulakan penggambaran video muzik (MV), pihak produksi ada bertanyakan sama ada boleh mengaitkan gambaran anak atau tidak. Saya okay sahaja memandangkan ini memang idea asal.
“Mungkin mereka risau saya akan bersedih dan sebagainya,” katanya dengan harapan sambutan hangat akan diberikan oleh peminat.
Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, Azmi bersyukur kerana banyak diberikan tunjuk ajar oleh komposer berpengalaman berkenaan sepanjang proses rakaman berlangsung.
“Ini merupakan kerjasama pertama saya dengan Ajai. Memang pada awalnya saya berdebar memandangkan ramai yang menganggap dia garang ketika menjadi juri untuk kebanyakan program TV.
“Tapi bila sudah berjumpa, sangat berbeza. Dia banyak memberikan ilmu baharu kepada saya dan mengajar banyak teknik nyanyian serta memperbetulkan mana yang kurang,” tambah Azmi lagi.
Dilancarkan secara rasmi pada 22 Julai, Permataku merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan edaran Indigital Music.
Lagu ini sudah berada disemua platform digital dan MV pula boleh ditonton melalui YouTube saluran Indigital Music mulai jam 3 petang hari ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024