Komposer Zimi yang juga bekas anggota kumpulan Akim & The Majistret akui tergamam selepas menerima berita pemergian pelawak, Abam.

Tambahan lagi kata Zimi, lagu Sikasih ciptaannya yang dinyanyikan arwah seolah-olah menggambarkan situasi sekarang.

Zimi berkata dia tidak menyangka bait ayat ‘terputus sudah di antara kita, berbeza sudah dua dunia’ digambarkan netizen sebagai ‘petanda’ Abam akan ‘pergi’ buat selamanya.

“Saya tergamam, tak tahu nak cakap macam mana. Sesiapa pun yang berada di tempat saya, akan rasa benda sama.

“Saya tak sangka lagu yang dirakam dan dinyanyikan arwah pada 2018 tiba-tiba terkait dengan situasi sekarang.

Assalamualaikum semua... Ape2pun al fatihah buat arwah abam... Kita baru je kehilangan seorang seniman yg byk jasanya dalam menghiburkan kita... Ni bukanlah berniat ape2.. Lagu ni mmg nyanyian arwah abam sepenuhnya... Dan kami buat lagu ni.. Sebab nk mencuba bende lain... Tapi hari ni ramai yg mula merisik lagu ni pasal ape... Benar tentang kematian/kehilangan/ lagu ni ditulis... Dan takde niat ape2 pun... Kebetulan yg tak disangka2.. Hampir setahun lagu ni dah dikluarkan... Harap semua dah sedekahkan Al fatihah buat arwah... Dan pada yg dh view lagu... T. Kasih.. Itu adelah sumbangan korang utk kluarga arwah... One n only from abam bocey... SIKASIH... Moga ditempat bersama2 org2 yg beriman... Amin....

A post shared by zimisofazr. numerus (@zimisofazr) on

“Saya pelawa arwah untuk menyanyikan lagu ini dan mahu dia sampaikan seikhlas hati dan jadi diri sendiri.

“Arwah menyanyikan lagu ini setakat yang dia mampu, mengikut permintaan saya.

“Jadi apa yang kita dengar tu, itulah suara dia…itulah yang terbit dari hati arwah,” katanya kepada Gempak.

Video lirik lagu Sikasih yang dimuat naik di YouTube pada 22 Februari 2019, sudah mencecah 2.3 juta tontonan setakat ini.

Mengulas mengenai Sikasih, Zimi berkata lagu tersebut menggambarkan dunia ini tidak akan kekal lama.

“Dunia ini hanya pinjaman, begitu juga dengan isinya. Semuanya akan dikembalikan kepada sang Pencipta tidak kira cepat atau lambat,” katanya.

Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia pada Isnin lalu dalam tidur di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 7 pagi, dipercayai akibat demam panas.