,
Berita

Mengenang Nakba: 76 Tahun Berlalu, Rakyat Palestin Terus Derita

Gempak
21/05/2024
15:53 MYT
Mungkin pernah terlintas di media sosial: gambaran ribuan keluarga yang terpaksa melarikan diri dalam kegelapan malam, memikul beg dan bungkusan harta benda yang sempat dicapai.
Yang tua terbongkok-bongkok menanggung beban, yang kecil kekeliruan dan menangis ketakutan. Kunci rumah disimpan dalam saku atau digantung di leher.
Barangkali mereka menyimpan harap untuk kembali suatu hari nanti.
Namun kebanyakan mereka akhirnya terpaksa mencari teduh dalam barisan khemah yang didirikan atas tanah berdebu, dikelilingi kehancuran.
Khemah ini ada yang kelihatan usang, ada yang tampak lebih baharu.
Hakikatnya, tiada satu pun yang mampu melindungi penghuninya daripada panas terik, kedinginan hujan mahupun musim sejuk.
Pemandangan menyayat hati seperti inilah yang biasa kita lihat selama berlakunya genosid di Gaza.
Ia diabadikan dalam rakaman video yang ditayangkan di kaca televisyen dan peranti pintar, dan kemudiannya dalam ingatan sekalian penonton.
Namun, pemandangan yang sama pernah wujud pada suatu zaman yang berbeza dalam sejarah Palestin.
Zaman ini membawa kenangan pahit kezaliman pengganas Zionis yang menghalau rakyat Palestin secara beramai-ramai dari tanah air mereka.
Peristiwa berdarah itu hari ini dikenali sebagai Nakba tahun 1948.

Tarikh 15 Mei tahun ini menandakan 76 tahun sejak berlakunya tragedi Nakba, namun bagi kebanyakan warga Palestin, mimpi ngeri itu bagaikan tidak pernah ternoktah.

Apakah Itu Nakba?

Al-Nakba ialah perkataan Arab yang membawa maksud 'malapetaka besar'.
Warga Palestin menggunakan istilah itu untuk merujuk kepada pengusiran paksa dan pembersihan etnik yang dialami nenek moyang mereka pada tahun 1948.
Pada masa itu, militia Zionis dan kemudiannya tentera Israel, telah menghalau warga Palestin dari rumah dan tanah milik mereka.
Segala harta benda dan kepunyaan penduduk telah dirompak dan dimusnahkan. Beribu-ribu penduduk di perkampungan sekeliling negara itu akhirnya menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.
Dalam bukunya The Ethnic Cleansing of Palestine, sejarawan dan aktivis sosial Ilan Pappe menganggarkan hampir sejuta penduduk Palestin telah diusir dari rumah mereka dan menjadi pelarian ketika penubuhan Israel, iaitu antara tahun 1947 hingga 1949.
Menjelang 1949, hampir 80 peratus penduduk Arab Palestin telah dihalau keluar dari kediaman mereka. Sejarawan dan pensyarah Rashid Khalidi dalam bukunya The Hundred Years' War on Palestine: A History of Settler Colonial Conquest and Resistance menyatakan bahawa akhirnya hanya satu perlima daripada populasi Arab Palestin yang tinggal, iaitu kira-kira 160,000 orang.
Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, 531 bandar dan kampung telah dimusnahkan semasa peristiwa Nakba.
Lebih daripada 70 pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh militia Zionis, mengorbankan nyawa lebih 15,000 penduduk Palestin.
Walaupun identiti dan sejarah Palestin cuba dipadamkan rejim Zionis Israel, sebahagian besar daripadanya yang wujud sebelum Nakba masih tersorok di celah bandaraya moden dan infrastruktur gah Israel hari ini.
Ia tetap wujud walaupun tumbuhan menjalar dan dedahan pokok dibiarkan tumbuh melitupi sisa kemusnahan perkampungan Palestin, dan ia tidak luput dari ingatan walaupun nama-nama Arab pada jalan dan bandar Palestin yang dinyahpenduduk telah ditukar.

Apakah Punca Nakba?

Tragedi Nakba telah didahului pelbagai peristiwa yang berakhir dengan serangan ke atas Palestin dan pembentukan negara penjajah Israel.
Sebelum ini, Palestin berada di bawah pemerintahan Uthmaniyyah (1516-1918) yang berakhir selepas Perang Dunia Pertama.
Pada penghujung tempoh ini, pendatang Zionis awal mula membeli tanah untuk menonjolkan diri mereka sebagai satu kuasa dalam pasaran buruh tempatan.
Pada tahun 1917, tepat sebelum akhir Perang Dunia Pertama, Setiausaha Luar British ketika itu, Lord Arthur Balfour telah berjanji kepada gerakan Zionis untuk memberikan mereka hak bagi mewujudkan negara mereka sendiri di bumi Palestin.
Peristiwa ini dikenali sebagai Deklarasi Balfour tahun 1917.
Selepas Perang Dunia I, Liga Bangsa-Bangsa (pencetus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menubuhkan satu sistem mandat bagi menempatkan Palestin di bawah pentadbiran United Kingdom. Mandat ini berlangsung selama kira-kira 30 tahun.
Migrasi pemukim Zionis ke Palestin juga meningkat ketika tempoh ini.
Faktor yang menggalakkan migrasi ini antaranya penindasan ke atas kaum Yahudi yang semakin meningkat di Eropah dan janji pihak British untuk menyediakan tanah air khas bagi kaum Yahudi pada masa akan datang. Ini meningkatkan pertembungan dalam kalangan penduduk Palestin tempatan, pemukim Zionis, dan British.
Menjelang tahun 1947, British berhasrat mengakhiri mandat mereka dan menyerahkan 'masalah Palestin' kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Maka, wujudlah Rancangan Pemisahan PBB 1947 untuk Palestin.
Di bawah rancangan ini, Palestin akan dibahagikan kepada dua negara-negara Yahudi dan negara Arab, dan Baitulmuqaddis (Jerusalem) akan diletakkan di bawah pentadbiran PBB.
Palestin dan negara Arab lain membantah rancangan ini dan menyifatkannya sebagai tidak adil.
Palestin terpaksa melalui peperangan secara besar-besaran pada tahun 1948. Militia Zionis (yang kemudiannya akan membentuk tentera Israel) melancarkan serangan terhadap bandar dan perkampungan Palestin.
Ribuan manusia terkorban manakala ribuan lagi terpaksa melarikan diri.
Kebanyakan mereka yang melarikan diri akhirnya tersadai di kem pelarian di negara jiran seperti di Jordan, Lubnan, dan Syria.
Yang lain mendapat perlindungan di Gaza, timur Jerusalem, dan di Tebing Barat.
Ramai daripada keturunan mereka masih lagi tinggal di kem-kem itu hingga hari ini kerana tidak dapat memenuhi hasrat untuk kembali ke rumah masing-masing.

Pentingnya 15 Mei

Pada tahun 1998, Presiden Palestin ketika itu, Yasser Arafat, secara rasminya mengisytiharkan bahawa 15 Mei akan diperingati setiap tahun sebagai 'Hari Nakba'.
Peringatan tahunan ini datang sehari selepas hari kebangsaan Israel, iaitu pada 14 Mei.
Tarikh ini juga bertepatan dengan tarikh Mandat British di Palestin berakhir - 15 Mei 1948.
Pada tahun 2022, Majlis Agung PBB meminta agar pertubuhan itu menjadikan Hari Nakba sebagai tarikh untuk diperingati.
Resolusi yang mengandungi permintaan ini diluluskan dengan 90 undi menyokong, 30 menentang, dan 47 berkecuali.
Maka untuk pertama kalinya dalam sejarah PBB, Hari Nakba diperingati pada 15 Mei 2023, di ibu pejabat PBB di New York - pada ulang tahun ke-75 Nakba.

Apa Yang Berlaku Sekarang?

Nyawa warga Palestin sekali lagi dipertaruhkan tanpa belas kasihan pada Oktober 2023, tetapi kali ini ia telah mencapai skala yang belum pernah terdengar sejak zaman Nakba.
Tujuh bulan selepas Israel melancarkan perang ke atas Palestin, hampir semua penduduk Gaza (lebih daripada 2.3 juta orang) telah dipaksa berpindah.
Bilangan kematian di Gaza telah mencapai tahap yang mengerikan.
Pada 17 Mei 2024, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 35,303 warga Palestin telah terbunuh dalam perang kali ini.
Angka ini termasuk kematian lebih 14,500 kanak-kanak, atau lebih dua peratus populasi kanak-kanak Gaza. Kira-kira 8,000 ke 10,000 warga Palestin disenaraikan sebagai hilang atau dikhuatiri terkubur di bawah runtuhan bangunan yang dibom dan diserang.
OCHA juga melaporkan bahawa bilangan yang cedera di Gaza telah mencapai sekurang-kurangnya 79,261 orang.
Tujuh kubur besar telah ditemui di dalam hospital di Gaza.
Tiga ditemui di Hospital Al Shifa di Bandar Gaza, tiga lagi di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, manakala satu lagi di Hospital Kamal Adwan di Gaza Utara.
Setakat ini, sejumlah 520 mayat telah ditemui di kubur-kubur besar ini.
Ancaman Israel untuk menyerang Rafah sentiasa terngiang-ngiang di di fikiran penduduk Gaza.
Dalam pos di X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menganggarkan bahawa lebih daripada 630,000 warga Palestin telah melarikan diri dari bandar itu.
Kebanyakan mereka terkorban ketika sedang mencari perlindungan di Al Mawasi, Deir Al-Balah, dan Khan Younis - kawasan yang menurut PBB 'tidak mempunyai perkhidmatan asas yang diperlukan untuk membantu mereka yang memerlukan makanan, tempat tinggal, dan penjagaan kesihatan.'
Warga Palestin yang tinggal di Tebing Barat dan timur Jerusalem juga tidak terlepas daripada kekejaman Israel.
OCHA melaporkan bahawa sejak 7 Oktober 2023, sejumlah 480 orang Palestin di Tebing Barat telah terbunuh, termasuk 116 kanak-kanak.
Bilangan yang cedera telah meningkat sehingga hampir 5,040 orang.
Serangan oleh peneroka Israel juga meningkat.
Sehingga kini, peneroka Israel telah melancarkan 848 serangan terhadap orang Palestin, mengakibatkan 87 kematian dan 669 insiden kerosakan terhadap harta milik Palestin.
Pemusnahan rumah warga Palestin di Tebing Barat juga telah mengakibatkan pengusiran 1,950 orang Palestin, manakala 1,385 lagi telah telah kehilangan tempat tinggal akibat keganasan peneroka dan sekatan akses.
Pada 9 Mei 2023, warga Israel telah menyerang ibu pejabat UNRWA di timur Jerusalem selepas hampir dua bulan melakukan tunjuk perasaan.
Mereka juga telah menyebabkan dua insiden kebakaran di luar premis ibu pejabat itu yang mengakibatkan kerosakan besar di kawasan itu.
UNRWA terpaksa menutup ibu pejabatnya buat sementara waktu selepas serangan itu.
Genosid yang sedang berlaku di Gaza telah dikecam secara meluas di peringkat antarabangsa, menyebabkan terlahirnya gelombang baru melawan aparteid di Palestin.
Pada 29 Disember 2023, Afrika Selatan telah membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana kes genosid yang dilakukan ke atas Palestin.
ICJ kemudiannya telah mengeluarkan beberapa perintah terhadap Israel untuk tidak menjalankan sebarang tindakan yang termasuk dalam Konvensyen Genosid.
Namun, pelbagai kumpulan hak asasi manusia berkata kesemua perintah ini langsung tidak dipatuhi Israel. ICJ juga mungkin akan mengambil beberapa tahun untuk mencapai keputusan akhir bagi kes ini.
Satu undian yang dijalankan Majlis Agung PBB baru-baru ini untuk menyokong usaha Palestin menjadi ahli penuh PBB telah mendapat sokongan meluas kesemua ahli. Resolusi itu menerima 143 undian menyokong, sembilan menentang, dan 25 berkecuali.
Serangan ke atas Palestin kali ini telah membuka mata dunia kepada kekejaman yang dilakukan Israel ke atas penduduk Palestin.
Kini, semakin ramai penduduk di negara barat yang terlibat dalam protes menentang genosid yang berlaku. Ini termasuk gelombang ‘intifada pelajar’ yang berlaku di kampus-kampus universiti di seluruh dunia. Protes yang dimulakan di Universiti Columbia di New York pada 17 April, 2024, menyaksikan penunjuk perasaan pro-Palestin berkhemah di kampus universiti itu.
Serangan polis dan pihak universiti ke atas mereka telah membuatkan ramai pihak berminat mendalami isu itu, sekali gus meningkatkan sokongan terhadap gerakan solidariti bagi Palestin.
Kini protes pelajar itu telah merebak ke kampus universiti di sekurang-kurangnya 25 negara.
Penunjuk perasaan kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan ahli fakulti yang mengutuk genosid di Gaza dan keganasan berterusan yang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin.
Mereka menuntut agar pihak universiti menghentikan pelaburan dalam syarikat-syarikat Israel, mengakhiri kerjasama dengan institusi akademik Israel, dan ketelusan dalam sumber kewangan dan dana universiti. Pada ketika ini, gerakan protes masih berlanjutan.
Sumber: Bernama, Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Hiburan

“Amboi… META pun nak fitnah saya juga,” - Fazura

gempak
01/11/2024
00:55 MYT
Boleh dikatakan setiap hari pelakon dan usahawan Nur Fazura tidak akan terlepas berkongsi mengenai Palestin di setiap platform laman sosial miliknya.
Hiburan

Inayah Beauty Hulur RM500,000 Bantu 2,500 Keluarga Di Gaza! - "Kami Bercita-Cita Jadikan Kutipan Ini Acara Tahunan"

gempak
20/10/2024
15:15 MYT
Buat julung kalinya, Inayah Beauty telah membuat langkah besar dengan membantu keluarga di Gaza, Palestin, melalui sumbangan RM500,000 kepada Yayasan Nurjiwa.
Hiburan

Yahya Sinwar Terbunuh Akibat Tembakan Di Kepala

gempak
19/10/2024
04:55 MYT
Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar maut akibat "kecederaan otak traumatik yang teruk" selepas ditembak di kepala, menurut ahli patologi di Israel yang menjalankan autopsi ke atasnya.
Terkini

Wanita Palestin Mengamuk Di WTKL Mohon Maaf, Tertekan Fikir Anak Di Gaza

gempak
06/10/2024
05:25 MYT
Seorang wanita Palestin yang terlibat dalam insiden kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) tampil memohon maaf dan mengakui turut menyesal dengan tindakan dilakukan.
Viral

Menyamar Jadi Rakyat Palestin Untuk Minta Derma, Netizen Bengang Dengan Sikap Warga Asing - "Senang-Senang Je!"

gempak
10/09/2024
09:55 MYT
Di saat rakyat Palestin teruk dibedil oleh rejim Zionis di negara sendiri, ada pula sesetengah pihak yang mahu mengambil kesempatan terhadap isu tersebut.
Unitar