Pelakon Indonesia, Aghniny Haque mendedahkan cabaran terbesar dalam Mencuri Raden Saleh adalah apabila dia perlu melakukan aksi pergaduhan dengan memakai kasut bertumit tinggi dalam salah satu adegan filem berkenaan.

Jelas Aghniny, pada adegan tersebut menuntutnya berlawan dengan lima orang lelaki, namun agak sukar untuk dilakukan kerana keadaan kasut tumit tersebut.

“Pada salah sebuah adegan meminta saya untuk melakukan aksi pergaduhan dengan beberapa lelaki dalam filem ini, tapi agak mencabar disebabkan ketika itu saya memakai kasut tumit yang agak tinggi.

“Adegan itu pula bukan berlawan dengan seorang sahaja, tetapi dalam lima orang, memang sedikit sulit.

“Selain kasut yang tinggi, keadaan baju yang saya kenakan ketika itu juga antara cabaran yang sukar untuk melakukan adegan tersebut,” kongsinya.

Dalam Mencuri Raden Saleh, Aghniny membawakan watak Sarah iaitu kekasih kepada Piko yang dilakonkan oleh Iqbaal Ramadhan.

Selain Aghniny dan Iqbaal, filem yang telah berjaya menghiburkan seramai 2.1 juta penonton di Indonesia sejak ditayangkan pada 25 Ogos lalu, turut membariskan pelakon seperti, Angga Yunanda, Ari Irham, Rachel Amanda dan Umay Shahab.

Sinopsis

Filem Mencuri Raden Saleh mengisahkan tentang enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza (The Painter, The Mastermind, The Brute, The Negotiator, The Handyman, The Driver) bergabung dan merancang untuk merompak sebuah lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa. Namun, misi mereka dikhianati dan mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad untuk membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan nama baik mereka.

Saksikan Mencuri Raden Saleh yang kini sedang di tayangkan seluruh pawagam Malaysia dan turut mengikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!