Pelakon Rita Rudaini tidak menolak sekiranya diberi tawaran untuk melakonkan watak sama dalam filem Mami Jarum.

Menurut Rita, dia sebenarnya sudah lama tidak membawa watak komedi seperti mana ditontolkan dalam filem tersebut.

"Terus terang saya dah lama tak bawa watak komedi. Memang dulu selalu watak lawak lepas tu beralih pada watak serius dan sedih.

"Namun bila nak kembali ke komedi itu agak janggal sebenarnya lagi pun saya pun dah berumur. Cuma kalau tiba-tiba Mami Jarum nak buat reunion, saya okay je, kalau ada tawaran la," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan dia juga agak merindui zaman kegemilangan Mami Jarum.

"Saya lihat filem ini setiap tahun ditayang oleh stesen televisyen terutama ketika perayaan. Maknanya masih ada sambutan.

"Kalau ada tawaran, rindu juga dekat kawan-kawan lama macam Kartina Aziz," katanya.

Untuk rekod, Mami Jarum diterbitkan pada tahun 2002 dan kemudiannya bersambung dengan sequel bertajuk Mami Jarum Junior pada 2003.

Kedua-dua filem ini merupakan arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen.

Dalam pada itu, Rita merupakan antara peserta yang layak ke peringkat akhir All Stars Buka Panggung (ASBP) disamping Datuk Aaron Aziz, Zulhuzaimy dan Noorkhiriah.

Pusingan akhir akan berlangsung pada Jumaat ini.

#GempakLive: Congrats @aarondwiaziz @ritrud727 @zulhuzaimy_m dan @khiriah17 berjaya ke Final All Stars Buka Panggung di minggu hadapan! Pape pun, persembahan @iamrosyam cukup menghiburkan malam ni, cuma bukan rezeki ke final. . . #AllStarsBukaPanggung #KatakanTidakPadaSkrip

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak) on


ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.

ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.